Bertanggungjawab sebagai pelakon suara bagi teraju utama siri animasi popular, Ejen Ali, Ida Rahayu menjelaskan tujuan dia bertahan adalah demi menyebarkan nilai positif kepada kanak-kanak.
Meskipun bayaran yang diterima pelakon suara tidaklah tinggi seperti pelakon di layar perak, Ida menjelaskan, dia bertahan kerana tanggungjawab.
“Saya cuba terapkan nilai baik, seperti watak Ali adalah seorang budak yang tak tahu apa-apa sehingga mampu menjadi ejen hebat.
“Jadi, saya berharap ia mampu memberi inspirasi kepada kanak-kanak.
“Apa yang seronok apabila kita lihat bagaimana ia memberi kesan kepada penonton, terutama kepada kanak-kanak walaupun bayarannya tidaklah gah seperti pelakon lain,” katanya.
Ida Rahayu berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui usai Tayangan Perdana Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) baru-baru ini.
Risau suara Ejen Ali hilang
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata ini meluahkan rasa bimbang sekiranya suara Ejen Ali hilang.
Jelasnya, suara Ali adalah sumber pendapatannya.
“Memang risau kalau suara Ejen Ali hilang. Antara cabarannya bila saya sakit. Ada satu masa, saya pernah berjangkit dengan rakan sekerja dan ketika itu, suara tak ada.
“Jadi, rakaman akan dihentikan dan saya tak dibenarkan buat rakaman demi menjaga suara.
“Kalau tidak, akan cedera pada bahagian suara. Pernah dalam sebulan saya tak buat rakaman suara,” jelasnya.
Sambutan peminat Indonesia luar biasa
Berkongsi lanjut, Ida juga tidak menyangka sambutan yang diterima peminat dari Indonesia terhadap siri animasi Ejen Ali diluar jangkaan.
Bahkan, ramai yang menyambut mereka persis bintang K-Pop.
“Peminat di Malaysia menghargai watak dengan cara membuat ‘fans art’, ada juga buat teori masing-masing (mengenai jalan cerita Ejen Ali).
“Jadi, saya rasa terhubung dengan peminat.
“Kalau peminat di Indonesia, impak Ejen Ali sangat diluar jangkaan.
“Ketika kami ke sana untuk tayangan filem pertama. Bila kami sampai semua bersorak dan menjerit seperti kami artis K-pop.
“Malah, kanak-kanak di sana tahu nama setiap pembawa suara,” ujarnya.
Sekdar info, EATM2 dibawakan Primeworks Studios (PWS) dan WAU Animation dengan kerjasama Komet Productions menjanjikan aksi serta plot cerita lebih mendebarkan.