am@hmetro.com.my
“SAYA tak anggap anggota Boboy sebagai ahli kumpulan, tetapi kami dah seperti adik-beradik,” kata penyanyi, Naqiu, 38, mengenai kumpulan Boboy yang menaikkan namanya ketika mula-mula terbabit dalam industri muzik.
Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib berkata, dia bersama anggota Boboy seperti Muz (gitar), Didie (bass), Zul (dram) dan Shah (gitar) akan berjumpa tiga atau empat kali seminggu sama ada melepak atau meluangkan masa bermain muzik.
“Kami suka bermain muzik secara santai sewaktu melepak bersama. Kami hanya menikmati masa bersama sebagai adik-beradik demi persahabatan erat. Hubungan persahabatan kami tetap sama seperti 25 tahun lalu,” katanya.
Penyanyi berasal dari Skudai, Johor ini berkata, dia juga berkeinginan untuk membuat persembahan bersama Boboy.
“Boboy tidak pernah adakan konsert di Malaysia, tetapi pernah melakukannya di Brunei. Jadi, saya harus berfikir untuk buat perancangan bersama Boboy.
“Saya sudah memiliki 10 lagu. Mungkin dalam satu atau dua tahun lagi, bila saya ada 13 hingga 14 lagu, saya boleh berfikir ingin melakukan persembahan atau ‘showcase’,” katanya.
Bagaimanapun, kata Naqiu, impian itu serta persembahan bersama Boboy belum dapat direalisasikan.
“Masanya belum tiba. Saya tanya kepada senior seperti Tomok mengenai proses ingin anjur konsert dan sebagainya. Saya rasa belum ada waktu sesuai kerana melihat Tomok, dia sangat komited dalam melakukan sesuatu perkara,” katanya.
Naqiu berkata, persaingan mengadakan konsert juga sengit kerana ramai penyanyi bernama besar berkeinginan mengadakan konsert.
“Saya harus melakukan persediaan dengan teliti sebelum melakukan sesuatu perkara,” katanya.
Sementara itu, bercerita mengenai lagu rayanya, Raya Sempoi yang mendapat sambutan baru-baru ini, Naqiu berkata, ia lagu raya pertamanya sepanjang kariernya dalam bidang nyanyian.
“Itu lagu raya pertama saya. Sebelum ini saya ada nyanyikan lagu raya bersama Faizal Tahir, tetapi ia versi ‘remake’ dan bukan lagu baru,” katanya.
Naqiu berkata, sudah lama dia berhajat merakamkan lagu raya namun setiap kali Ramadan, dia sentiasa sibuk.
“Kalau ikutkan saya tak sempat siapkan Raya Sempoi tahun ini, tetapi saya gagahkan diri curi masa dan berjaya selesaikan proses rakaman. Saya juga curi satu hari lagi untuk penggambaran muzik video . Saya bersyukur hasrat melancarkan lagu raya tertunai walaupun prosesnya dilakukan dalam keadaan tergesa-gesa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



