Beijing: Pihak berkuasa di China sedang menguji pemasangan laser di lebuh raya dalam usaha menghalang pemandu daripada tertidur semasa memandu, namun ia meraih pelbagai reaksi pengguna.
Pemasangan laser itu dirakam di Lebuhraya Qingdao-inchuan sepanjang 1,600 kilometer yang dilaporkan kebanyakannya digunakan trak berat dari ibu kota Ningxia menuju ke bandar pelabuhan Qingdao.
Tahun lalu, klip pancaran cahaya berwarna-warni yang dipancarkan dari papan tanda lebuh raya di China itu mula tular di media sosial, menyebabkan orang ramai keliru mengenai tujuannya.
Apa yang kelihatan seperti pertunjukan cahaya itu sebenarnya kaedah percubaan untuk menghalang pemandu, terutama pemandu trak dan lori daripada tertidur semasa memandu.
Bagaimanapun, inisiatif itu meraih pelbagai reaksi pengguna media sosial.
“Lampu laser yang direka untuk memerangi keletihan dengan cepat, menyegarkan saya dan mengurangkan keletihan pada waktu malam yang panjang,” kata Li dalam satu catatan tular di X.
Namun, ada yang memberi komen, lampu laser terlalu mengganggu, sementara yang lain mengatakan alat itu lebih cenderung untuk menyebabkan sawan epilepsi daripada memastikan pemandu terjaga.
“Ini akan mengalih perhatian saya. Ia akan membuatkan saya tidur apabila saya terbiasa dengannya,” tulis seorang pengguna maya.
Seorang pengguna X lain pula berkata, inisiatif itu akan membuat mata pemandu silau seterusnya menyebabkan kemalangan.
“Idea siapa yang genius untuk membutakan pemandu? Tahniah, mereka yang tidak mengantuk kini menjadi bingung,” tulis individu itu.
Tidak jelas sama ada sistem laser masih diuji di lebuh raya, atau sama ada pihak berkuasa China akan melaksanakan projek itu, namun kontroversi pemasangan alat itu masih menjadi tajuk utama berita.
© New Straits Times Press (M) Bhd




