faris.fuad@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti identiti tiga warga China yang maut dalam kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) Jalan Alam Damai, di sini, hari ini.
Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi, berkata tiga lelaki pekerja tapak pembinaan itu dikenal pasti sebagai Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng.
“Mayat Kunfu dan Jinboa berjaya dikeluarkan pihak bomba jam 11.30 pagi tadi dan diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.
“Kerja menyelamatkan mayat Tong Zheng yang terhimpit di antara struktur besi masih dijalankan.
“Seorang warga tempatan yang turut parah dalam kejadian itu pula dikenali Low Zy Jing berusia 33 tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pagi tadi, lima buruh asing dan seorang warga tempatan dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan.
Tiga buruh asing maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang maut kerana tersepit pada struktur besi, manakala dua lagi terselamat.
Pemandu kereta yang ditimpa gantri itu cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.
© New Straits Times Press (M) Bhd




