IDF kini berada di ambang keruntuhan – Ketua pembangkang Israel

IDF kini berada di ambang keruntuhan – Ketua pembangkang Israel

Baitulmaqdis: Barisan pembangkang Israel pada Khamis memberi isyarat berakhirnya konsensus politik berhubung peperangan menentang Iran. Konflik ini, menurut penilaian tentera, kini menuntut jumlah anggota tempur yang jauh lebih besar, terutama di barisan hadapan Lubnan.

“Saya mahu memberi amaran kepada rakyat Israel. Kita sedang berdepan satu lagi bencana keselamatan,” kata ketua pembangkang utama negara merangkap peneraju parti berhaluan tengah-kanan Yesh Atid, Yair Lapid, melalui kenyataan yang disiarkan di televisyen pada hari ke-27 peperangan.

“Pasukan Pertahanan Israel (IDF) telah dikerah sehingga ke tahap maksimum dan melampaui kemampuan. Kerajaan membiarkan tentera dalam keadaan parah di medan tempur,” tegas Lapid.

Sama seperti kepimpinan politik Israel yang lain, sebelum ini Lapid menyokong penuh peperangan ke atas Republik Islam itu yang dianggap secara meluas di Israel sebagai ancaman kewujudan.

Kenyataan drastik beliau pada Khamis ini menyusul selepas kebocoran maklumat berkaitan ulasan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, sehari sebelumnya. Laporan media memetik Zamir memberitahu kabinet keselamatan bahawa “IDF kini berada di ambang keruntuhan”.

“Saya menaikkan 10 bendera merah,” lapor media memetik kata-kata beliau.

“Pasukan simpanan tidak akan bertahan dan tentera kini memerlukan undang-undang pengerahan,” kata Zamir, merujuk kepada perundangan yang membolehkan pendaftaran penganut Yahudi ultra-Ortodoks yang sebahagian besarnya dikecualikan daripada perkhidmatan ketenteraan. Undang-undang ini selari dengan tuntutan majoriti besar rakyat Israel yang semakin membantah pengecualian golongan tersebut.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, yang bergantung kepada sekutu parti ultra-Ortodoks bagi mengekalkan kuasa, menggunakan pelbagai taktik bagi melengah-lengahkan kelulusan perundangan berkenaan.

Menurut penyiar awam KAN, beliau berjanji kepada kabinet keselamatan pada Rabu bahawa tentera akan menerima sokongan. Netanyahu dilaporkan berikrar perundangan pengerahan itu akan diluluskan selepas cuti Paskah yang jatuh pada 1 hingga 9 April tahun ini.

Perkhidmatan tentera adalah wajib di Israel. Namun, di bawah ketetapan sejak pembentukan negara itu pada 1948 — ketika komuniti ultra-Ortodoks masih kecil — lelaki yang menumpukan masa sepenuhnya untuk kajian teks suci Yahudi mendapat pelepasan secara de facto.

“Juruterbang kita, pejuang kita, sedang melakar sejarah luar biasa buat negara Israel,” kata Lapid. Namun tambahnya, “kerajaan menghantar tentera ke kancah perang yang pelbagai tanpa strategi, tanpa kemudahan yang diperlukan, dan dengan jumlah askar yang terlalu sedikit.”

“Anggota simpanan ini keletihan serta lesu dan tidak lagi mampu mendepani cabaran keselamatan kita. Tentera tidak mempunyai cukup anggota bagi menjalankan misinya.”

Bekas Perdana Menteri Naftali Bennett, pencabar sayap kanan Netanyahu, menyatakan pandangan serupa.

“Kerajaan tidak menang di mana-mana. Tidak di Lubnan, mahupun di Gaza. Di Iran, kita akan lihat nanti,” ujar Bennett dalam temu bual televisyen pada Khamis.

“Matlamat utama kita di Iran adalah untuk melumpuhkan program nuklear — masih terdapat 460 kg uranium yang diperkaya di sana,” katanya sambil mengkritik pengecualian yang diberikan kepada komuniti ultra-Ortodoks. “Kita telah membina sebuah negara ultra-Ortodoks di dalam Israel,” tambahnya.

Pemimpin parti berhaluan tengah-kanan dan bekas ketua turus, Gadi Eisenkot, menyatakan di platform X: “Melaksanakan undang-undang perkhidmatan wajib untuk semua adalah keperluan mendesak, ia adalah tuntutan sanubari, hanya ini yang akan mengembalikan Israel ke landasan yang betul.”

Lapid menggesa pengerahan lelaki ultra-Ortodoks dilakukan segera.

“Kerajaan mesti berhenti menjadi penakut, hentikan serta-merta semua pembiayaan bagi penolak draf Haredi, hantar polis tentera mencari pembelot, dan kerahkan golongan Haredi tanpa ragu-ragu,” tegas Lapid.

Sementara itu, pihak tentera menyatakan mereka berdepan kekurangan anggota ketika bertempur dalam perang pelbagai ini. Jurucakap tentera, Brigedier Jeneral Effie Defrin mengesahkan dalam taklimat media bahawa IDF memerlukan “lebih banyak pasukan tempur,” khususnya di selatan Lubnan bagi mewujudkan “zon pertahanan hadapan” menentang pejuang Hizbullah yang disokong Iran.

Menurut tinjauan pendapat yang diterbitkan petang Khamis oleh Saluran 12, kira-kira 60 peratus rakyat Israel menyokong penerusan perang menentang Iran, manakala 67 peratus menyokong operasi tempur menentang Hizbullah di Lubnan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top