PARIS: Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bersetuju untuk mempercepatkan pelepasan lebih 20 juta tong diesel serta baki simpanan minyak daripada rizab kecemasan bagi meningkatkan bekalan dan meredakan lonjakan harga bahan api di pasaran global.
Lapor Reuters, langkah itu diambil selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menggesa negara-negara Kesatuan Eropah (EU) untuk menggunapakai rizab strategik masing-masing atau berdepan risiko larangan eksport diesel dari AS menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November ini.
Harga diesel melonjak ke paras tertinggi di beberapa pasaran dunia susulan gangguan bekalan akibat krisis di Selat Hormuz, perang Iran serta konflik Russia-Ukraine. Keadaan ini sekali gus mencetuskan ancaman inflasi dan beban kos sara hidup yang semakin mencabar buat kerajaan dan pengguna.
Memuatkan artikel berkaitan…
Lembaga pengarah IEA yang dianggotai 32 buah negara mengadakan mesyuarat pada Khamis bagi membincangkan skala dan tempoh masa pelepasan rizab berkenaan.
“Lembaga Pengarah IEA mengesahkan komitmen untuk meneruskan Tindakan Kolektif Mac 2026 sebagai maklum balas terhadap krisis Selat Hormuz,” menurut kenyataan agensi itu selepas mesyuarat berkenaan.
Pada Mac lalu, negara-negara ahli berikrar untuk melepaskan lebih 400 juta tong minyak mentah dan produk petroleum. Menerusi keputusan terbaharu pada Khamis, ahli IEA bersetuju mempercepatkan pelepasan baki jumlah berkenaan termasuk pelan khusus melepaskan lebih 20 juta tong diesel seawal mungkin.
Sehingga kini, IEA mengesahkan kira-kira 330 juta tong minyak dilepaskan ke pasaran. Beberapa negara ahli dilaporkan telah melepaskan kuantiti yang melebihi ikrar asal mereka.
Bagaimanapun, penganalisis pasaran menyifatkan pengumuman itu belum cukup memberi impak besar. Penganalisis Sparta Commodities, Abhishek Kumar berkata, pelepasan lebih 20 juta tong diesel itu kelihatan lebih kepada mempercepatkan komitmen sedia ada dan bukannya penambahan jumlah baharu yang dimahukan pasaran.
Sementara itu, Jabatan Tenaga AS memaklumkan pelepasan susulan dengan tumpuan kepada bekalan diesel kini sedang dalam semakan.
Pihak pentadbiran Trump bagaimanapun terus mendesak negara-negara Eropah agar bertanggungjawab memenuhi ikrar mereka bagi menstabilkan pasaran tenaga global.
Sebagai respons tempatan, Sepanyol mengumumkan bakal melepaskan 4.4 juta tong daripada rizab strategiknya pada Oktober ini, menjadikan jumlah keseluruhan yang dilepaskan negara itu sebanyak 3.7 juta daripada 11.5 juta tong yang diikrarkan pada Mac lalu.




