Warsaw: Iga Swiatek melantik bekas jurulatih lama Rafael Nadal, Francisco Roig bagi menggantikan Wim Fissette.
Pemenang enam gelaran Grand Slam dan 25 trofi Jelajah WTA itu mengesahkan pelantikan berkenaan menerusi media sosial.
“Selamat datang ke pasukan, Francisco! Sangat teruja dengan bab baharu ini,” kata Iga dalam hantaran di Instagram Story miliknya.
Pemain berusia 24 tahun itu berpisah dengan Fissette pada 23 Mac lalu selepas kekalahan mengejut dalam perlawanan pembukaan kepada rakan senegara Poland, Magda Linette di Terbuka Miami pada 20 Mac.
Sepanjang 18 bulan kerjasama mereka, Iga meraih gelaran Wimbledon tahun lalu.
Roig, 58, pernah bekerjasama dengan Nadal dari 2005 hingga 2022, selain turut melatih pemain Itali Matteo Berrettini (2023-2024) dan juara Terbuka Amerika Syarikat (AS), Emma Raducanu (2025-2026).
Iga dijadual kembali beraksi di Grand Prix Stuttgart di Jerman yang bermula 11 April ini.
Bekas pemain nombor satu dunia itu pernah menduduki ranking teratas selama 125 minggu.
Selain Wimbledon 2025, dia turut memenangi Terbuka AS 2022 serta empat gelaran Terbuka Perancis (2020, 2022-2024).
© New Straits Times Press (M) Bhd




