Iga makin garang buru takhta Roland Garros

Iga makin garang buru takhta Roland Garros

Paris: Iga Swiatek mara ke pusingan ketiga Terbuka Perancis selepas menewaskan pemain ranking ke-35 dunia, Sara Bejlek 6-2, 6-3.

Juara empat kali Roland Garros itu sedang dalam misi merampas semula gelaran yang dimenanginya tiga kali berturut-turut dari 2022 hingga 2024 sebelum tersingkir di separuh akhir kepada pilihan utama, Aryna Sabalenka musim lalu.

Iga yang kini berusia 24 tahun baru-baru ini menjalinkan kerjasama bersama bekas jurulatih Rafael Nadal, Francisco Roig dan menjalani persiapan bagi Grand Slam gelanggang tanah liat itu di akademi tenis legenda Sepanyol berkenaan di Mallorca.

“Saya menghabiskan seminggu di Mallorca dan ia sangat menakjubkan kerana memulakan musim gelanggang tanah liat di sana memberi saya motivasi besar,” kata Iga di gelanggang.

Selepas mencatat kemenangan mudah pada aksi pembukaan di Paris menentang pemain wildcard Australia, Emerson Jones, pemain Poland itu berdepan cabaran lebih sukar di pusingan 64 terbaik apabila menentang juara Abu Dhabi, Bejlek.

“Dia memiliki corak permainan yang sukar dibaca… dia sangat bijak mengubah rentak permainan,” kata Iga mengenai lawannya yang berusia 20 tahun itu dan kali pertama ditemuinya.

Dalam keadaan angin agak kuat di gelanggang utama sambil penonton menikmati cuaca panas terik, kedua-dua pemain bergelut melakukan servis pada awal permainan dengan tiga break berturut-turut berlaku pada permulaan aksi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top