Ijazah untuk ayah

BATU PAHAT – Sewaktu melanjutkan pengajian pada semester pertama, graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, Alfiyandi Syaiful dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) disahkan mengidap apendiks akut dan terpaksa menjalani pembedahan segera.

Malangnya selepas pembedahan, proses yang dijangka hanya mengambil masa dua minggu berlarutan untuk tempoh masa yang lama akibat Adhesion Colic atau usus melekat.

“Dengan berat hati, saya terpaksa menangguh pengajian bagi tempoh satu semester kerana keadaan yang tidak mengizinkan.

“Namun begitu, dengan izin Allah saya dapat menyambung pengajian saya pada semester berikutnya,” katanya.

Selain menghadiri kelas, Alfiyandi turut melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum peringkat antarabangsa seperti program khidmat komuniti selain turut menyertai Sekretariat Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) bagi menyantuni pejuang-pejuang kanser sekitar negeri Johor.

“Saya berminat menyertai YKTLJ kerana didorong oleh pengalaman saya menjaga abang yang juga seorang pejuang kanser.

“Beliau berjuang melawan kanser selama lebih tiga tahun sebelum pergi meninggalkan dunia menuju ke negeri abadi,” katanya.

Setahun berlalu, sekali lagi beliau diuji apabila ayahnya pula disahkan mengidap kanser.

“Setelah mendapatkan pandangan daripada penasihat akademik fakulti, saya nekad untuk menangguhkan pengajian dan menjaga ayah yang perlu menjalani rawatan kimoterapi dengan kerap.

“Saya percaya setiap ujian yang diberikan tidak melebihi kemampuan diri kita, lalu saya tinggalkan sahabat seperjuangan dengan berat hati untuk sementara waktu.

“Ketika dunia dan negara dilanda wabak Covid-19, dapatlah saya meneruskan pengajian semula secara dalam talian sesambil menjaga ayah yang semakin tenat,” katanya.

Ketika Alfiyandi berjuang untuk menghabiskan pengajian bersama ayah di sisi, akhirnya ayahnya menghembuskan nafas terakhir di bulan Ramadan tahun lalu.

“Tidak mudah bagi saya untuk mencari semula semangat yang hilang namun hasrat ayah yang ingin melihat saya naik ke pentas menerima ijazah menjadi pendorong kepada saya.

“Kini penantian ayah sudah tiba, walaupun pada awalnya agak berat bagi saya untuk menghadiri istiadat konvokesyen, namun hari ini saya nekad untuk berada di dewan ini,” katanya.

Beliau turun melahirkan rasa syukur kerana sebahagian daripada gaji pertamanya digunakan untuk mencantikkan pusara ayahnya.

“Berkat doa arwah ayah dan abang, saya dapat menghabiskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian Kelas Pertama,” katanya.

Alfiyandi turut meraih Anugerah Dekan bagi setiap semester dan Anugerah Naib Canselor bagi konvokesyen kali ini.- MalaysiaGazette