IJM ulang pendirian minta pemegang saham tolak tawaran pengambilalihan Sunway

IJM ulang pendirian minta pemegang saham tolak tawaran pengambilalihan Sunway

IJM Corporation Bhd mengulangi pendirian agar pemegang saham menolak cadangan pengambilalihan oleh Sunway Bhd setelah ia dinilai tidak adil dan tidak munasabah.

Menurut IJM, tawaran tersebut juga perlu dinilai dalam konteks strategik yang sewajarnya.

“IJM kini berada pada fasa berbeza dalam kitaran pelaburannya, dengan aset-aset utama seperti konsesi infrastruktur yang sedang beralih daripada fasa pembangunan kepada fasa operasi.

“Perbandingan yang hanya berasaskan margin semasa atau pendapatan jangka pendek tidak mencerminkan sepenuhnya nilai sebenar atau potensi masa hadapan.

“Sehubungan itu, pemegang saham dinasihatkan untuk menilai Tawaran Sunway berdasarkan Pekeliling Nasihat Bebas, pengumuman rasmi Syarikat, serta nilai asas, kedudukan strategik dan prospek masa depan IJM,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

12 Januari lalu, Sunway Berhad membuat tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bagi kesemua 3.51 bilion saham dalam IJM Corporation Berhad pada harga RM3.15 sesaham, dengan tarikh akhir penerimaan ditetapkan pada 6 April.

Kemudian, pada awal bulan ini, Permodalan Nasional Berhad (PNB) selaku pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan untuk tidak menerima tawaran tersebut bagi pegangan 13.5 peratus miliknya dalam konglomerat berkenaan.

Untuk rekod, Sunway perlu memperoleh pegangan ekuiti sekurang-kurangnya 50 peratus ditambah satu saham dalam IJM bagi membolehkan tawaran pengambilalihan itu berkuat kuasa.

Namun, untuk menyahsenarai IJM secara mandatori dan menjadikannya syarikat persendirian, Sunway memerlukan kelulusan 90 peratus pemegang saham, satu ambang yang dilihat sukar dicapai susulan penolakan PNB.

Dalam pada itu, IJM menegaskan, tiada sebarang tawaran pengambilalihan dikemukakan kepada syarikat pada 9 Januari 2026 seperti dilaporkan media tempatan.

Jelas IJM, mesyuarat makan tengah hari antara wakil Sunway dengan pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan IJM berlangsung pada 12 Januari dan dalam pertemuan tersebut, mereka dimaklumkan bahawa notis VTO akan diserahkan pada petang hari yang sama.

“Tiada perbincangan mengenai kandungan cadangan dibuat kerana tawaran tersebut akan dibuat secara langsung kepada pemegang saham IJM,” menurut kenyataan tersebut.

Pada masa sama, IJM juga menegaskan, pihaknya tidak pernah berbincang mengenai cadangan pengambilalihan itu dengan mana-mana pemegang taruh, bercanggah dengan dakwaan pengasas dan pengerusi Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah.

Cheah dilaporkan oleh New Straits Times sebagai berkata bahawa perbincangan awal dengan pemegang taruh adalah ‘menggalakkan’, dengan maklum balas daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang secara umumnya positif serta mengiktiraf rasional komersial urus niaga tersebut.

“Pihak syarikat ingin menegaskan bahawa sebarang perbincangan yang mungkin diadakan oleh Sunway dengan mana-mana pemegang saham sebelum pengumuman VTO dibuat adalah tanpa pengetahuan atau penglibatan lembaga pengarah mahupun pengurusan IJM,” katanya.

 

 

Scroll to Top