syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Zizi Kirana, menegaskan pendiriannya untuk tidak mencampuradukkan urusan peribadi dengan kerjaya seni, susulan beberapa isu lama yang kembali menjadi perbualan di media sosial sejak kebelakangan ini.
Zizi menjelaskan bahawa hantaran lama di platform Threads serta video di TikTok yang dikongsikan sekitar tahun 2022 diambil semula dan dijadikan bahan perbualan, meskipun perkara itu sudah lama berlalu.
“Sebenarnya, isu yang dibangkitkan semula ini sudah lama berlalu. Cuma mungkin semasa isu ini muncul kembali membuatkan pelbagai tafsiran terjadi,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Zizi, setiap kenyataan atau perkongsian yang dibuat ketika itu adalah bersesuaian dengan waktunya dan tidak wajar dijadikan naratif baharu yang mengundang pelbagai spekulasi.
“Saya menulis dan berkongsi sebagai seorang manusia, sama seperti kalian, bukan untuk dijadikan babak tambahan dalam cerita sesiapa,” katanya.
Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil berkata, sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan, dia membuat keputusan untuk memisahkan hal peribadi daripada kerjayanya demi menjaga prinsip serta nilai yang dipegangnya.
“Saya percaya seni yang tulen dan jujur tak perlukan kisah peribadi sesiapapun. Itulah cara saya menjaga apa yang saya sayang,” katanya.
Bagi Zizi, keikhlasan dalam berkarya lebih utama berbanding membabitkan kisah peribadi dalam usaha menarik perhatian khalayak.
“Yang mengenal akan faham. Yang menghormati akan diam,” katanya.
Sebaliknya, dia memilih untuk terus mendoakan kebaikan buat semua termasuk dirinya sendiri, dan menghargai sokongan peminat yang sentiasa bersamanya sepanjang perjalanan seni.
Terdahulu, heboh di media sosial mengenai dakwaan bahawa Zizi dan suaminya yang juga pelakon, Yusuf Bahrin saling ‘unfollow’ di media sosial sekaligus timbul spekulasi mengenai kegoyahan dalam rumah tangga mereka.
Isu ‘unfollow’ itu bagaimanapun hanyalah isu lama yang sudah berlaku sejak tahun lalu, namun baru kini dibangkitkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd