Ikhwan manfaat anugerah seni sebagai jalan berdakwah

Ikhwan manfaat anugerah seni sebagai jalan berdakwah

georgie@hmetro.com.my

IKHWAN Fatanna adalah penyanyi yang memiliki pandangan unik dalam kerjaya muziknya kerana tidak meletakkan garisan pemisah nyata antara muzik arus perdana dengan karya berunsur keislaman.

Bagi Ikhwan atau nama sebenarnya Ikhwan Fatanna Mokhtar, 35, kedua-dua genre itu saling melengkapi dalam penceritaan seninya.

Rasa syukur menjadi tunjang utama dalam setiap langkah diambilnya sebagai anak seni.

Dia melihat peluang untuk berkarya dalam industri ini sebagai satu anugerah besar, justeru mahu memanfaatkannya dengan cara paling bermakna. Bukan sekadar kepuasan peribadi, tetapi tujuan lebih murni.

Dorongan menerbitkan lagu berunsur Islam datang daripada kesedaran mendalam kerana percaya bakat dikurniakan Tuhan harus dipulangkan semula dalam bentuk khidmat kepada agama.

“Saya tak kisah sebenarnya digelar penyanyi Islamik. Sebab saya bersyukur sangat untuk berada dalam industri. Allah sudah bagi saya bakat dalam bidang ni, tapi takkan tak buat sesuatu untuk agama.

“Saya lebih fikir ke arah itu. Maksudnya lagu Islamik itu saya tak ada apa-apa ‘target’. Kalau menjadi, rezeki. Kalau tak jadi, maksudnya ia tidak popular, tapi ia ada di pasaran. Saya sudah gembira,” katanya.

Menurutnya, ada ketika dia juga terfikir apa kesan kehadirannya dalam industri muzik terutama legasi yang akan ditinggalkan.

Katanya, persoalan itu benar-benar membuatkannya untuk memikirkan semula tujuan dan impak karya yang dihasilkannya.

“Saya terfikir macam, mungkin ada lagu yang saya tinggalkan memberi kebaikan kepada orang lain. Sekali gus peninggalan itu akan menjadi saham akhirat yang baik untuk saya,” katanya.

Ikhwan berharap cabang pelaburan akhirat itu terus mengalirkan pahala walaupun dirinya.

Bercerita mengenai lagu baharu taruhannya berjudul Hadiah Tuhan, ia adalah sebuah karya sangat peribadi buatnya berikutan ia adalah luahan rasa syukur.

Lagu istimewa itu dicipta khas untuk isteri tercinta, Lin Ariffin sebagai manifestasi cinta dan penghargaan terhadap pasangan hidup yang mewarnai hari-harinya dengan sebuah makna baharu dan lebih indah.

Momen magis penciptaan lagu ini berlaku ketika dia berbulan madu di Pangkor Laut. Idea datang secara spontan, menjadikan proses penghasilannya unik dan istimewa.

Dia merasakan satu dorongan kuat untuk merakamkan pengalamannya dalam bentuk sebuah lagu yang boleh dikongsi bersama pendengar.

“Memang niat saya untuk menghadiahkan lagu Hadiah Tuhan kepada semua yang nak berumah tangga atau mereka yang harungi perjalanan hidup bersama seseorang ketika susah senang.

“Walaupun inspirasi utamanya adalah isteri, mesej lagu ini lebih universal. Ia boleh ditujukan kepada sesiapa sahaja yang jadi teman setia, seperti ibu menjaga anaknya sakit atau sahabat yang sentiasa ada.

“Sebab saya perasan setiap kali dapat komen orang yang dengar karya saya, banyak komen merasai persamaan cerita sebegitu. Mungkin ini cara kita nak sentuh peminat kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top