PETALING JAYA: Google memperkenalkan keperluan pensijilan baharu, Pengesahan Perkhidmatan Kewangan (FSV) bagi memastikan hanya penyedia perkhidmatan kewangan yang sah dan berlesen sahaja dibenarkan menyiarkan iklan di platform tersebut.
Langkah itu diperkenalkan susulan trend penipuan kewangan yang semakin membimbangkan di Malaysia, dengan nilai kerugian mencecah RM2.77 bilion pada tahun 2025 menurut data Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bermula 14 April 2026, pengiklan produk dan perkhidmatan kewangan terpilih diwajibkan melengkapkan proses pengesahan identiti dan membuktikan mereka diberi kuasa oleh pihak berkuasa tempatan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) atau Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA).
Pengarah Urusan Negara Google Malaysia, Ben King berkata, inisiatif itu bertujuan menutup ruang yang sering dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendekati rakyat Malaysia melalui taktik penipuan digital yang sentiasa berubah.
“Kami memperkukuh sistem pertahanan bagi memastikan hanya penyedia sah sahaja dapat menjangkau pengguna. Melalui kerjasama dengan pihak berkuasa, kami dapat memberikan keyakinan lebih tinggi kepada rakyat Malaysia apabila berurusan secara dalam talian,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Abdul Karim Fakir Ali menyambut baik langkah tersebut yang disifatkan sebagai pendekatan ‘keseluruhan ekosistem’ (whole-of-ecosystem) dalam menjamin persekitaran digital yang selamat.
“Antara implikasi utama pelaksanaan FSV ini termasuklah pembukaan permohonan pengesahan yang boleh dilakukan oleh pengiklan melalui rakan pematuhan Google, G2, bermula 10 Mac 2026.
“Semua pengiklan yang berada dalam skop berkaitan diwajibkan untuk melengkapkan proses tersebut sebelum tarikh penguatkuasaan sepenuhnya pada 14 April 2026.
“Mana-mana pengiklan yang gagal melengkapkan pengesahan baharu ini menjelang tarikh berkenaan tidak lagi dibenarkan untuk menyiarkan sebarang iklan perkhidmatan kewangan kepada pengguna di Malaysia,” katanya.
FSV melengkapkan sistem pertahanan pelbagai lapisan Google yang sedia ada, termasuk penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) seperti Circle to Search dan Google Lens bagi membantu pengguna mengesan potensi penipuan dalam masa nyata.
Inisiatif serupa sebelum ini telah pun dilaksanakan oleh Google di beberapa negara lain termasuk United Kingdom (UK), Singapura dan Australia. –UTUSAN



