Iktibar agung surah al-Isra’ (12)

Iktibar agung surah al-Isra’ (12)

SIKAP atau perangai orang yang tidak beriman adalah mereka menuduh Nabi Muhammad S.A.W sebagai seorang ahli sihir iaitu yang boleh memukau atau mempengaruhi fikiran orang untuk mendengar kata-katanya. Mereka juga berhujah dengan menolak dakwah Rasulullah S.A.W mengenai kehidupan setelah kematian. Mereka memberitahu bahawa lama-kelamaan tulang akan reput dan tubuh juga akan hancur. Allah S.W.T menjawab persoalan mereka dengan menyuruh mereka supaya menjadi batu atau besi. Walaupun mereka menjadi batu atau besi, Allah S.W.T masih mampu menghidupkan mereka semula.

Musuh utama kita ialah syaitan, orang kafir, orang munafik, orang mukmin yang dengki dan nafsu. Inilah lima cabaran yang bakal dihadapi oleh orang yang beriman. Syaitan akan menggoda kita agar berbuat kejahatan. Orang kafir akan memerangi dan menyesatkan kita. Orang munafik akan cuba untuk mengkhianati kita. Nafsu akan mengajak kita agar berbuat perkara yang tidak baik. Orang Islam pula akan dengki dengan kita:

Advertisement

رَبُّكُمْ اَعْلَمُ بِكُمْ اِنْ يَّشَأْ يَرْحَمْكُمْ اَوْ اِنْ يَّشَأْ يُعَذِّبْكُمْۗ وَمَآ اَرْسَلْنٰكَ عَلَيْهِمْ وَكِيْلًا

“Tuhanmu lebih mengetahui mengenai kamu. Jika Dia menghendaki, nescaya Dia akan memberi rahmat kepadamu, dan jika Dia menghendaki, pasti Dia akan mengazabmu. Dan Kami tidaklah mengutusmu (Muhammad) untuk menjadi penjaga bagi mereka.”

(al-Isra’: 54)

Allah S.W.T melihat kita dan kita serahkan sahaja kepada-Nya untuk menentukan amal baik mahupun jahat kita. Jika Allah kasihankan kita, Dia akan memberikan rahmat, dosa diampunkan dan dimasukkan ke dalam syurga. Selagi dosa kita tidak diampunkan, kita tidak terlepas daripada azab:

وَرَبُّكَ اَعْلَمُ بِمَنْ فِى السَّمٰوٰتِ وَالْاَرْضِۗ وَلَقَدْ فَضَّلْنَا بَعْضَ النَّبِيّٖنَ عَلٰى بَعْضٍ وَّاٰتَيْنَا دَاوٗدَ زَبُوْرًا

“Dan Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang di langit dan di bumi. Dan sungguh, Kami telah memberikan kelebihan kepada sebahagian Nabi-nabi atas sebahagian (yang lain), dan Kami berikan Zabur kepada Dawud.”

(al-Isra’: 55)

Allah S.W.T mengetahui isi langit dan bumi. Isi langit merangkumi malaikat, jin, burung, awan dan sebagainya. Isi bumi pula merangkumi tanah, batu, mineral, air dan sebagainya. 

Dalam kalangan para Nabi walaupun secara umumnya mereka ialah makhluk Allah S.W.T namun ada yang lebih dan yang kurang darjatnya. Nabi yang lebih tinggi darjatnya digelar sebagai Ulul Azmi iaitu Nabi Muhammad, Nabi Nuh, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Ibrahim. Bermaksud mereka mempunyai keazaman yang lebih tinggi. Cabaran mereka lebih besar dan berat berbanding Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang lain yang wajib kita imani sebanyak 25 orang. Dalam kerajaan juga begitu, ada pelbagai tahap seperti Perdana Menteri, Timbalan Menteri dan sebagainya. 

Kitab suci yang diturunkan kepada Nabi Daud A.S ialah kitab Zabur. Ia tidak mempunyai hukum dan undang-undang tetapi lebih kepada doa dan nasihat. Nabi Daud biasanya malam-malam baca kitab. Nabi yang paling merdu suaranya ialah Nabi Daud sehingga burung-burung pun berhenti [1]: 

قُلِ ادْعُوا الَّذِيْنَ زَعَمْتُمْ مِّنْ دُوْنِهٖ فَلَا يَمْلِكُوْنَ كَشْفَ الضُّرِّ عَنْكُمْ وَلَا تَحْوِيْلًا

“Katakanlah (Muhammad), “Panggillah mereka yang kamu anggap (Tuhan) selain Allah, mereka tidak kuasa untuk menghilangkan bahaya darimu dan tidak (pula) mampu mengubahnya.””

(al-Isra’: 56)

Disebabkan oleh orang kafir percaya kepada selain daripada Allah iaitu pelbagai jenis berhala yang kononnya sebagai perantara untuk sampai kepada-Nya, Allah mencabar sejauh mana berhala itu dapat menolong mereka ketika susah. Sudah pasti berhala-berhala itu tidak dapat berbuat sedemikian. Berbeza dengan kuasa Allah di mana ia tidak terbatas. 

Lihatlah perangai orang-orang Arab. Jika mereka hendak pergi ke mana-mana, berhala yang besar tidak mampu mereka bawa, jadi mereka akan membawa buah tamar dan melekat-lekatkan kemudian mencantumkan sehingga menjadi seperti patung. Apabila mereka berhenti di mana-mana, mereka akan menyembahnya. Apabila tiada makanan, mereka akan memakan patung itu. Mereka menyembah apa yang dibuat oleh mereka sendiri. Kita pun begitu, kita takut dengan pocong yang kita sendiri lakonkan. 

‘Ad-Dhurru’ membawa maksud yang pelbagai seperti bahaya, penyakit dan bencana. Ayuh kita telusuri kisah Nabi Ayub A.S yang menghidap penyakit kulit dalam tempoh yang terlalu lama. Keluarganya kecuali isterinya pergi meninggalkannya kerana barangkali sudah tidak selesa untuk tinggal bersama. Baginda dan isterinya kemudian pergi ke sebuah gua. 

Nabi Ayub sentiasa membaca satu doa elak bahaya, iaitu: 

اَنِّيْ مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَاَنْتَ اَرْحَمُ الرّٰحِمِيْنَ

“Ya Tuhanku, sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang.” 

(Al-Anbiya’: 83)

Dibacanya selama berbulan-bulan bahkan ada yang menyebut selama bertahun-tahun. Allah memakbulkan doanya dengan keluarnya mata air di dalam gua itu. Allah menyuruh dia ‘terjah’ dengan tumit lalu mata air pun keluar. Air itu diminum dan digunakan untuk mandi. Baginda kembali pulih dan Allah menggantikan kehidupannya dengan harta yang banyak dan yang lebih baik. 

Sekiranya kita mempunyai penyakit yang kritikal, sungguh baik untuk kita amalkan doa Nabi Ayub. Ini antara ikhtiar yang boleh kita lakukan untuk kembali sembuh. Kita juga boleh berikhtiar dengan surah Al-Fatihah. Ada yang menyebut bahawa surah Al-Fatihah adalah ibu kepada segala penawar:

اُولٰۤىِٕكَ الَّذِيْنَ يَدْعُوْنَ يَبْتَغُوْنَ اِلٰى رَبِّهِمُ الْوَسِيْلَةَ اَيُّهُمْ اَقْرَبُ وَيَرْجُوْنَ رَحْمَتَهٗ وَيَخَافُوْنَ عَذَابَهٗۗ اِنَّ عَذَابَ رَبِّكَ كَانَ مَحْذُوْرًا

“Orang-orang yang mereka seru itu, mereka sendiri mencari jalan kepada Tuhan siapa di antara mereka yang lebih dekat (kepada Allah). Mereka mengharapkan rahmat-Nya dan takut akan azab-Nya. Sungguh, azab Tuhanmu itu sesuatu yang (harus) ditakuti.”

 (al-Isra’: 57)

Sembahan adalah berkemungkinan dalam bentuk berhala atau pun makhluk seperti orang ‘alim. Persoalannya, makhluk itu boleh menolong kita ke? Sedangkan mereka pun berhajat kepada Allah S.W.T. Kurniaan dan kehebatannya datang daripada kuasa dan keizinan Allah S.W.T. 

Sebab itu walau hebat setara mana pun, jika Allah tidak izinkannya, maka ia tidak berhasil dan begitulah sebaliknya. Bahasa mudahnya adalah mengapa kita sendiri tidak bergantung kepada Allah? Ada yang meminta supaya orang ‘alim mendoakannya sedangkan dia sendiri tidak menunaikan solat. Ketahuilah bahawa faktor masalah yang berlaku dalam hidup adalah berpunca daripada diri kita sendiri. 

Ada dalam kalangan orang susah yang tidak menunaikan solat. Air mukanya kelihatan ‘keruh’ kerana tidak terkena air wuduk. Berbeza dengan orang yang menunaikan solat, air mukanya akan kelihatan cerah walaupun tidak bersinar. Pada hari akhirat, Nabi Muhammad S.A.W akan melihat tanda-tanda sujud umatnya kerana ia adalah kesan daripada solat. Oleh itu, kita digalakkan untuk mengambil air wuduk setiap kali waktu solat. Anggota zahir kita akan sentiasa dicuci dengan air wuduk. Amalan yang lebih baik lagi adalah yang diamalkan oleh Bilal bin Rabah R.A, selepas berwuduk, beliau akan menunaikan solat sebanyak dua rakaat. 

Orang beriman seolah-olah mempunyai cahaya yang menyuluh jalan dalam kehidupannya. Ada seorang Sahabat yang boleh berjalan di dalam gelap kerana ada cahaya pada mukanya [2]. Hal ini tersebar dan dia tidak mahu orang perasan. Lalu dia memohon kepada Allah S.W.T supaya mengalihkan cahaya di mukanya kepada cahaya di tongkat. Dia menggunakan tongkat itu untuk berjalan ke mana-mana.  

Allah S.W.T mengingatkan kita agar tidak bergantung pada makhluk. Walau ‘alim setara mana pun, janganlah lupa pada ‘yang atas’. Walaupun kita dibolehkan untuk bertawasul dengan orang ‘alim, namun tawasul yang lebih baik adalah tawasul dengan amal kita. Mengambil iktibar daripada kisah tiga orang pemuda yang memasuki gua. Kemudian, pintu gua tertutup akibat gegaran yang berlaku. Maka, mereka tidak dapat keluar. Mereka pun berdoa dan masing-masing menyebut amal kebaikan yang paling baik dengan Allah. Dengan berkat amal soleh mereka, batu-batu gua itu jatuh dan akhirnya mereka dapat keluar dari gua itu [3].

Tidak salah untuk bertawasul dengan orang ‘alim. Ada orang yang berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W dan meminta agar Baginda mendoakannya. Apabila Baginda S.A.W wafat, ada yang berjumpa dengan bapa saudaranya iaitu ‘Abbas bin Abdul Mutalib dan meminta agar mendoakannya. 

Dilarang sekiranya bertawasul dengan sesuatu yang tidak menentu seperti berdoa di busut. Walaupun ada khilaf mengenai hal tawasul ini, tidak usahlah kita berkelahi. Berbeza pandangan dalam bidang undang-undang atau fekah itu tidak mengapa kerana ia adalah tafsiran bukannya nas. Peguam pun berbeza pandangan kerana jika tidak, kes di mahkamah tidak akan dibicarakan sampai ke sudah. 

Orang yang berijtihad; jika betul pandangannya, dia akan memperoleh dua pahala, namun jika sebaliknya, dia akan memperoleh satu pahala. Imam Syafie menyebut bahawa pegangannya adalah betul tetapi berkemungkinan salah. Pegangan orang lain adalah salah tetapi berkemungkinan betul. Oleh itu, kita haruslah berpegang pada pandangan kita tetapi hormatilah pandangan orang lain. 

Ijtihad ini adalah berdasarkan pemahaman kita. Ada orang yang memahami secara mendalam, separuh atau sedikit. Umpama pelbagai kegunaan batu jongkong seperti bina bangunan, alas pasu bunga, kereta dan almari atau tindih barangan. Ini kerana sudut pandang yang berbeza walaupun barang itu sama. Tidak boleh nak kata salah kerana ia bukan mutlak. 

Para ulamak sesama mereka tidak berkelahi kerana mereka mengetahui bahawa ijtihad adalah suatu perkara yang terbuka. Maka, berbahaslah dengan ilmu bukan nafsu. Jika berhujah dengan nafsu, semua akan rosak sehinggakan ada yang sanggup menuduh orang lain dengan tuduhan buruk. 

Ibn Taimiyah ialah antara orang yang paling ‘keras’ dengan Syiah, kuat melawan Syiah tetapi tidak mengkafirkan orang Syiah. Seteruk-teruk Syiah yang di dalamnya ada amalan-amalan kafir, namun Ibn Taimiyah menyatakan bahawa Syiah secara umumnya ialah orang yang menyeleweng, mengikut nafsu atau bid’ah dalam agama. Oleh itu, ilmu khilaf ini mestilah diamalkan secara cermat. 

Mungkin kerana ghairah atau ilmu yang tidak mencukupi, ada yang suka melabel orang lain dengan mengatakan bahawa orang lain sesat dan menyeleweng. Kita sendiri tidak memahami apa yang kita perkatakan. Bahaya sebenarnya jika kita sudah sampai tahap mengkafirkan orang yang bukan kafir. Jika kita mengatakan bahawa orang itu kafir, kafir itu akan berbalik kepada kita. Oleh itu, mengaji biarlah luas agar boleh melihat kebenaran. Antara ulamak yang amat cermat ialah Imam Ghazali dan Imam Syafie yang tidak cepat menghukum:

وَاِنْ مِّنْ قَرْيَةٍ اِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوْهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيٰمَةِ اَوْ مُعَذِّبُوْهَا عَذَابًا شَدِيْدًاۗ كَانَ ذٰلِكَ فىِ الْكِتٰبِ مَسْطُوْرًا

“Dan tidak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari Kiamat atau Kami seksa (penduduknya) dengan seksa yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuzh).”

 (al-Isra’: 58)

Umat terdahulu dibinasakan dan dihukum oleh Allah S.W.T kerana mereka menentang para Nabi dan Rasul misalnya umat Nabi Nuh, Nabi Hud, Nabi Soleh dan Nabi Yunus. Bentuk kebinasaan pada zaman sekarang tidak seperti zaman dahulu. Allah mendatangkannya dalam bentuk banjir, ribut taufan, bencana alam, gempa bumi dan sebagainya. Tidak hancur sebuah negeri macam dahulu misalnya bandar Pompeii. Satu bandar yang beribu rakyatnya telah dihancurkan oleh letusan gunung berapi. Sebab kehidupan mereka terlalu dahsyat seperti berzina, homoseksual dan berjudi. Ulamak ada menyebut bahawa bencana alam yang berlaku sekarang sebenarnya adalah bencana Allah termasuk masalah ekonomi dan sosial. 

Harga barangan pun makin meningkat akibat daripada COVID-19. Apabila barangan tiada, harga akan meningkat. Jika barangan berlambak, harga menjadi murah. Sebab ekonomi dunia terjejas. Misalnya bawang yang majoritinya diimport dari India. India menyekatnya kerana negaranya sendiri tidak cukup bawang. Sama juga dengan sayur-sayuran yang dahulunya diimport dari Thailand. COVID-19 ini merupakan hukuman Allah. Manusia selalu bangga diri dan lupa akan kuasa Allah. Allah hadirkan penyakit untuk kita sedar namun ada juga yang tidak sedar. 

Dikhabarkan bahawa akan muncul varian baru. Inilah kuasa Allah sebagai peringatan-Nya buat kita. Orang yang beriman hendaklah melihatnya dengan kaca mata agama. Para Nabi yang ditimpa musibah atau penyakit, mereka tidak kelam kabut. Nabi Yunus A.S yang sedar bahawa dia meninggalkan pengikutnya telah berdoa di dalam perut ikan nun. Nabi Ayub A.S pun berdoa setelah menghadapi penyakit yang kritikal. 

Jadi apabila kita berdepan dengan masalah, kembalilah kepada agama. Insya-Allah, Allah akan memberikan jalan keluar. Tetapi jika kita merujuk ilmu kita yang tidak seberapa, masalah kita tidak akan selesai:

إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا

 “Maka sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan.”

 (Al-Insyirah: 5)

Setelah hadirnya masalah akan hadirnya penyelesaian jika kita berada di jalan yang benar:

وَمَا مَنَعَنَآ اَنْ نُّرْسِلَ بِالْاٰيٰتِ اِلَّآ اَنْ كَذَّبَ بِهَا الْاَوَّلُوْنَۗ وَاٰتَيْنَا ثَمُوْدَ النَّاقَةَ مُبْصِرَةً فَظَلَمُوْا بِهَاۗ وَمَا نُرْسِلُ بِالْاٰيٰتِ اِلَّا تَخْوِيْفًا

“Dan tidak ada yang menghalangi Kami untuk mengirimkan (kepadamu) tanda-tanda (kekuasaan Kami), melainkan kerana (tanda-tanda) itu telah didustakan oleh orang terdahulu. Dan telah Kami berikan kepada kaum Thamud unta betina (sebagai mukjizat) yang dapat dilihat, tetapi mereka menganiaya (unta betina itu). Dan Kami tidak mengirimkan tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakuti.”

 (al-Isra’: 59)

Orang kafir mencabar Nabi Muhammad S.A.W yang berbicara mengenai hari akhirat. Sebab Baginda S.A.W tidak menunjukkan mukjizat yang membinasakan umatnya tetapi hanya Al-Quran. Allah S.W.T boleh mengazabkan mereka pada bila-bila masa cuma perangai mereka tetap tidak akan berubah iaitu mereka tetap tidak akan beriman.

Contoh ditunjukkan melalui kisah kaum Thamud dan kaum Hud kerana mereka sangat dekat dengan Tanah Arab. Nabi Soleh dahulunya telah dicabar oleh umatnya supaya menghadirkan sesuatu yang boleh membinasakan. Lalu keluarlah unta daripada batu. Semua terkejut melihatnya namun mereka tetap tidak mahu beriman malah merancang untuk menyembelih unta tersebut. Maka, Al-Quran sebenarnya sudah memadai kerana ia mampu mengalahkan syair-syair Arab yang hebat pada masa itu. 

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 5 September 2022 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 9/9/2022

Rujukan:

[1] Al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibnu Kathir (2/14).

[2] Sahabat yang dimaksudkan adalah At-Tufayl Bin Amru, rujuk ‘al-Isabah fi tamyiz al-Sahabah’ oleh Ibnu hajar (2/225).

[3] Berdasarkan Hadis Sahih Riwayat Imam Muslim (no. Hadis 2743)