mohamadridzuan@hmetro.com.my
Bukan mudah menghasilkan drama berdasarkan kisah benar terutamanya sejarah tanah air. Jika tersilap langkah mungkin akan mengundang kritikan penonton.
Justeru, pengarah, Mohamad Ridzuan Mat Hussin atau Wan Cromox amat berhati-hati apabila diberi tanggungjawab menghasilkan telefilem khas Merdeka berjudul Aku & Tunku (Road To Merdeka).
Telefilem terbitan Insular Challenge Sdn Bhd ini berdasarkan kisah dari peristiwa sejarah yang berlaku pada 20 Februari 1956, iaitu sempena Pengisytiharan Tarikh Hari Merdeka.
Telefilem Aku & Tunku (Road To Merdeka) menampilkan pelakon seperti Nazeera Sardi, Richard Hanafi, Adam Tay, Kuna Muzani, Fattah Ali, Nik Ramly dan ramai lagi.
Wan berkata, dia bersyukur kerana penerbitnya, Shahira Bernabe dan penerbit eksekutif, Muhammad Danial Bernabe memberi kebebasan untuknya mengarah mengikut acuan sendiri.
“Saya berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan. Skrip garapan Ayuni Zamani pula boleh dikatakan sempurna di mana faktanya juga tepat. “Saya tak perlu buat banyak kerja olah skrip. Malah, saya beruntung diberikan barisan pelakon yang mantap sekali gus memudahkan kerja-kerja pengarahan,” katanya.
Sepanjang 22 tahun mengarah, telefilem ini amat mencabar kemampuan Wan kerana dia perlu menjaga kualitinya.
“Perlu kerana ia dihasilkan khas sempena Merdeka. Banyak kerja kena buat kerana saya mohon kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dari arkib mereka.
“Ia kerana telefilem ini pergi ke zaman Tunku Abdul Rahman pada 1956. Jadi saya kena gunakan 40 peratus ‘blue screen dan teknik kesan khas.
“Ia untuk babak Tunku laung Merdeka dan watak utama, Rahman masuk ke zaman itu. Teknik ini pernah saya guna masa arah drama Di Sebalik Maya dulu,” katanya.
Menurutnya, Aku & Tunku (Road To Merdeka) akan ditayangkan menerusi TV Okey sebelum hujung bulan ini.
Telefilem ini berkisarkan Rombongan Merdeka yang kembali ke Tanah Melayu darÌ London pada 16 Februari 1956 dan tiba di Singapura pada tengah malam 19 Februari 1956.
Tunku membuat keputusan untuk tidak terus pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya, sebaliknya memutuskan untuk singgah ke Melaka terlebih dahulu bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu.
Pada keesokannya pada 20 Februari 1956, sejarah tercipta di bumi Melaka apabila rombongan Merdeka ini bertolak ke Melaka dan tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam dengan menaiki pesawat Malayan Airways dan disambut dengan begitu meriah oleh pelbagai lapisan masyarakat.
© New Straits Times Press (M) Bhd