razis@mediaprima.com.my
MENGIKUT perancangan awal, pasangan suami isteri ini ingin terus tinggal menyewa di kediaman jenis apartmen di Semenyih, Selangor diduduki sejak tahun 2020 kerana belum berkemampuan memiliki kediaman pertama sendiri.
Bagaimanapun, selepas pemilik kediaman menyatakan hasrat ingin menjual rumah selepas dua tahun mereka menyewa, Siti Aishah Mohd Desa, 29 dan suaminya, Munif Atfan, 30, mula mempertimbangkan untuk membeli kediaman sendiri.
Mengimbas kembali perjalanan membeli kediaman pertama itu Siti Aishah berkata, dia dan suaminya secara kebetulan ternampak reruai jualan rumah di sebuah pasar raya.
Katanya, selepas mendengar penerangan ejen jualan, suami berminat kerana apartmen itu berdekatan dengan rumah keluarganya sebelum terus membuat bayaran tempahan serta memberikan dokumen berkenaan untuk proses pembiayaan bank.
“Dalam masa lebih kurang sebulan, pihak bank memberitahu bahawa pembiayaan perumahan kami diluluskan. Pada ketika itu, kami jadi berbelah bahagi untuk meneruskan niat membeli rumah itu kerana bimbang tidak mampu membayar komitmen bulanan.
“Tambahan pula waktu itu suami saya sahaja yang bekerja. Saya tidak dapat bekerja disebabkan alahan mengandung dan sedang menunggu hari untuk melahirkan cahaya mata pertama.
“Selepas berfikir secara mendalam, akhirnya kami bersetuju meneruskan pembelian rumah ini dan terus menghubungi peguam untuk menandatangani dokumen jualan beli,” katanya.
Menurutnya, rumah jenis apartmen bersaiz 860 kaki persegi ini yang dilengkapi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dibeli ketika negara sedang dilanda pandemik Covid-19.
“Menariknya, rumah kami yang berharga RM300,000 diberikan diskaun dengan hanya membayar RM260,000. Kami memilih unit bebas kerana pemaju menyediakan kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen, mesin basuh, peti sejuk, pendingin hawa, kipas dan juga pemanas air.
“Unit bebas juga mempunyai balkoni manakala unit Selangorku pula tidak mempunyai balkoni dan kosong tanpa perkakas rumah,” katanya.
Jelasnya, oleh kerana membeli kediaman tanpa ilmu dan kajian, mereka tidak menyedari bahawa bayaran balik pinjaman masih perlu dibuat biarpun kediaman masih belum siap sepenuhnya.
“Kami agak terkejut apabila bank beritahu kami perlu bayar jadual bayaran berperingkat bergantung pada peringkat pembangunan itu dilaksanakan sehingga mendapat kunci. Mujurlah pada ketika itu kami mempunyai simpanan untuk membayar jadual bayaran berperingkat itu.
“Bukan mudah hendak bayar rumah sewa dan rumah yang kami beli itu pada masa yang sama selain mempunyai komitmen membayar pinjaman kereta.
“Untuk membantu suami dari segi kewangan, saya menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan. Hikmah di sebalik kesusahan itu, hasil daripada duit perniagaan itu, saya bukan sahaja dapat membantu suami malah dapat mengumpul wang untuk menampung kos pengubahsuaian dan tata hias kediaman,” katanya.
Tambahnya, dia amat menyukai kediaman ini kerana lokasi yang memiliki akses yang baik dan berhampiran dengan lebuh raya untuk ke Putrajaya, Kuala Lumpur, Nilai dan Seremban.
“Selain itu, kediaman ini turut dilengkapi dengan banyak kemudahan asas yang baik seperti sekolah, institut pengajian tinggi, pusat membeli belah dan sebagainya.
“Selepas berdepan dengan pelbagai cabaran, saya rasa berbaloi tinggal di sini kerana komuniti sangat baik dan saling membantu. Di sini juga terdapat kemudahan seperti kolam dan gimnasium luar yang menjadi kesukaan kami sekeluarga,” katanya.
Katanya, tidak dinafikan selepas memiliki kediaman sendiri, pengurusan kewangan menjadi lebih teliti dan ketat kerana ada liabiliti yang perlu dijaga dalam tempoh masa yang panjang.
“Setiap pendapatan yang keluar dan masuk akan lebih diteliti supaya kami tidak berbelanja lebih daripada kemampuan. Ini juga mengajar kami untuk lebih bertanggungjawab dalam menguruskan kewangan kami sekeluarga,” katanya.
Siti Aishah menasihatkan kepada pembeli rumah terutamanya pada generasi muda supaya membuat keputusan secara bijak kerana memiliki kediaman sendiri ada baik ada buruknya.
“Dapatkan nasihat dari orang sekeliling yang berpengalaman kerana memiliki rumah sendiri ini bukan untuk jangka masa yang pendek. Sedikit tersilap langkah ini akan membebankan kita di masa hadapan.
“Sekiranya masih menyewa, pastikan gaji mencukupi untuk bayar dua rumah dalam satu masa kerana jadual bayaran berperingkat rumah baru ini perlu dibayar dalam tempoh yang lama sehingga mendapat kunci,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




