Ilmu tanpa adab racun kepada masyarakat

Ilmu tanpa adab racun kepada masyarakat

INSIDEN pelajar menumbuk guru yang tular baru-baru ini bukan sekadar isu disiplin, tetapi membuka mata masyarakat tentang kepentingan mendidik generasi agar tidak hanya cemerlang akademik, malah berakhlak mulia.

Seperti mana diingatkan Penolong Pendaftar Kanan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan, Ustazah Shalwati Ramli ketika ditemu bual Sinar Islam Plus baru-baru ini, ilmu tanpa adab mampu menjadi racun yang merosakkan masyarakat.

USTAZAH SHALWATI

USTAZAH SHALWATI

Peristiwa itu membuktikan bahawa pengetahuan bukan hanya soal hafalan atau pencapaian akademik semata-mata, tetapi bagaimana ia diamalkan untuk membentuk keperibadian yang baik dan memberi manfaat kepada orang lain.

Jelas Ustazah Shalwati, keberkatan ilmu lahir apabila ia mendekatkan pelajar kepada ALLAH SWT, membentuk akhlak mulia, memupuk kerendahan hati dan membolehkan pengetahuan itu digunakan untuk kebaikan di dunia serta akhirat.

“Keberkatan ilmu dalam perspektif Islam merujuk kepada kualiti ilmu yang membawa manfaat kepada individu dan masyarakat, selain diredai ALLAH SWT.

“Ia juga merupakan ilmu yang mendatangkan kebaikan, manfaat yang berpanjangan dan membawa seseorang semakin dekat kepada ALLAH SWT,” jelasnya.

Sekalipun seseorang mencapai kejayaan akademik tinggi atau memiliki pekerjaan hebat, jelas pendakwah itu, keberkatan tersebut boleh terhapus jika adab terhadap guru diabaikan.

“Walaupun nampak berjaya dari segi duniawi, tetapi jika dia menyakiti gurunya, merendahkan ilmu atau tidak menghormati ilmu, keberkatan itu boleh hilang.

“Ilmu itu tidak memberi ketenangan dan tiada manfaat kepada masyarakat, malah boleh membawa kepada kesombongan serta kerosakan kepada dirinya sendiri dan orang di sekelilingnya,” ujarnya.

KEBERKATAN ilmu lahir apabila ia mendekatkan pelajar kepada ALLAH SWT, membentuk akhlak mulia, memupuk kerendahan hati dan membolehkan pengetahuan itu digunakan untuk kebaikan di dunia serta akhirat. -Foto: CANVA

KEBERKATAN ilmu lahir apabila ia mendekatkan pelajar kepada ALLAH SWT, membentuk akhlak mulia, memupuk kerendahan hati dan membolehkan pengetahuan itu digunakan untuk kebaikan di dunia serta akhirat. -Foto: CANVA

Undang murka ALLAHjika sakiti guru

Mengulas tindakan menumbuk guru, Ustazah Shalwati menegaskan, ia merupakan satu bentuk penderhakaan dan penghinaan terhadap penyampai ilmu.

Ujar beliau, guru bukan sahaja menyampaikan pengetahuan, tetapi juga memainkan peranan besar dalam pembentukan sahsiah pelajar.

“Memukul guru bukan sahaja merosakkan adab sebagai penuntut ilmu dan ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.

“Tindakan sebegini boleh menyebabkan hilangnya keberkatan, malah menjadi asbab murka ALLAH SWT, menjauhkan rahmat dan keberhasilan sebenar dalam hidup seseorang,” jelasnya.

Hakikatnya, Islam begitu memandang tinggi kedudukan guru.

Walaupun perbuatan menghina, memperlekeh atau menyakiti guru tidak dinyatakan secara khusus sebagai dosa besar, Ustazah Shalwati mengingatkan, perilaku itu boleh termasuk dalam kategori tersebut.

MEMULIAKAN guru adalah sebahagian daripada amalan para ulama dan sahabat sebagai tanda keikhlasan menuntut ilmu. -Foto: CANVA

MEMULIAKAN guru adalah sebahagian daripada amalan para ulama dan sahabat sebagai tanda keikhlasan menuntut ilmu. -Foto: CANVA

“Itu pun jika ia melibatkan penderhakaan kepada orang berilmu, menyakiti sesama Muslim tanpa sebab, melanggar adab terhadap penyampai ilmu agama dan terputusnya keberkatan serta silaturahim,” ungkapnya.

Ustazah Shalwati kemudian berkongsikan kisah teladan sahabat Nabi Muhammad SAW dan ulama silam yang amat menghormati guru mereka.

Antaranya Sayidina Ali bin Abu Talib RA misalnya, beliau pernah berkata: ‘Saya ialah hamba kepada sesiapa yang mengajar saya walaupun satu huruf. Jika dia mahu, dia boleh menjual saya atau membebaskan saya atau menjadikan saya hamba.’

“Imam Asy-Syafie pula sangat menghormati gurunya, Imam Malik sehinggakan beliau membuka helaian kitabnya dengan perlahan kerana takut mengganggu gurunya.

“Semua itu jelas menunjukkan bahawa memuliakan guru adalah sebahagian daripada amalan para ulama dan sahabat sebagai tanda keikhlasan menuntut ilmu,” katanya.

Buka jalan dunia dan akhirat

Justeru, beliau mengingatkan masyarakat agar menghormati guru tidak terbatas pada ucapan terima kasih, tetapi membuka jalan kepada kejayaan yang lebih luas di dunia dan akhirat.

“Guru bukan hanya penyampai ilmu, mereka adalah pembentuk akhlak dan jati diri anak bangsa.

“Menghina atau memukul guru bukan hanya mencemarkan akhlak, malah menutup pintu keberkatan dalam kehidupan,” jelas beliau.

GURU bukan hanya penyampai ilmu, mereka adalah pembentuk akhlak dan jati diri anak bangsa. -Foto: CANVA

GURU bukan hanya penyampai ilmu, mereka adalah pembentuk akhlak dan jati diri anak bangsa. -Foto: CANVA

Ustazah Shalwati menegaskan, pendidikan yang hanya menekankan kecemerlangan akademik tanpa membentuk adab ibarat rumah tanpa tiang.

Ia mungkin kelihatan indah dari luar, tetapi mudah runtuh apabila diuji.

“Didiklah anak-anak beradab sebelum berilmu kerana ilmu tanpa adab akan membawa kerosakan kepada masyarakat,” pesannya.

ANEKDOT

Adab pelajar terhadap guru menurut Islam

MENGHORMATI guru tidak terbatas pada ucapan terima kasih, tetapi membuka jalan kepada kejayaan yang lebih luas di dunia dan akhirat. -Foto: CANVA

MENGHORMATI guru tidak terbatas pada ucapan terima kasih, tetapi membuka jalan kepada kejayaan yang lebih luas di dunia dan akhirat. -Foto: CANVA

– Menghormati dan memuliakan guru, tidak bercakap kasar atau meninggikan suara.

– Mendengar dengan penuh perhatian ketika guru bercakap.

– Tidak memotong percakapan guru kecuali dengan izin.

– Tidak duduk lebih tinggi daripada guru, sebaiknya duduk dengan penuh tawaduk.

– Tidak menyanggah guru secara terbuka walaupun tidak bersetuju.

– Mendoakan guru dalam solat dan kehidupan seharian.

– Menjaga adab berpakaian dan tingkah laku di hadapan guru.

ANTARA adab bersama guru adalah menghormati dan memuliakan mereka, tidak bercakap kasar atau meninggikan suara. -Foto: CANVA

ANTARA adab bersama guru adalah menghormati dan memuliakan mereka, tidak bercakap kasar atau meninggikan suara. -Foto: CANVA

– Meminta izin sebelum bertanya atau bercakap panjang.

– Tidak menyebut keburukan guru walaupun selepas tamat belajar.

– Menziarahi guru dan terus berhubung walaupun selepas menamatkan pengajian.

Scroll to Top