TERLETAK di Lot 2199, Jalan Khamis, Meru, Klang, sebuah kafe kecil bernama Ilya Café menjadi saksi kepada sebuah kisah luar biasa tentang semangat anak muda, kekuatan keluarga dan warisan masakan Malaysia.
Di sebalik dapur dan kaunter sajian, tersimpan tekad seorang mahasiswi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berjaya mengimbangi dunia akademik dan keusahawanan secara serentak.
Ilya Café beroperasi setiap hari dari 7 pagi hingga 12 tengah hari untuk sarapan, dan disambung semula dari 3 petang hingga 10 malam bagi sajian panas.
Dikenali dalam kalangan penduduk setempat sebagai lokasi menjamu selera dengan citarasa pelbagai negeri, kafe ini sebenarnya diurus secara jarak jauh oleh Syafiqah Ilya Suhaimi, pelajar jurusan Ijazah Sarhana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa dengan Kepujian di UUM College of Law, Government and International Studies (COLGIS), Sintok, Kedah.
Dilahirkan di Meru pada 19 Julai 2005, Syafiqah Ilya kini berusia 20 tahun. Di sebalik jadual kelas, tugasan dan kehidupan kampus yang mencabar, beliau tetap berperanan sebagai pengurus operasi kafe secara atas talian, membuktikan bahawa usia dan jarak bukan penghalang untuk berjaya dalam dunia perniagaan.
“Ilya Cafe bermula sebagai sebuah warung kecil yang dibuka dengan niat sekadar mencuba nasib dalam dunia perniagaan makanan. Namun, sambutan hangat daripada pelanggan setia dan sokongan komuniti sekeliling telah menjadi pembakar semangat untuk terus maju. Dalam tempoh yang singkat, cafe ini bukan sahaja menjadi tempat persinggahan harian ramai, malah turut dikenali dengan sajian ringkas tetapi penuh rasa,” katanya.
Operasi harian kafe dikendalikan oleh ibunya, Siti Juma’yah Muhammad Masudi, bersama kakak ibunya, Puan Siti Khalijah Muhammad Masudi, serta beberapa pembantu. Mereka bukan sahaja menyediakan makanan, malah menyuntik nilai mesra pelanggan dan kasih sayang dalam setiap sajian yang dihidangkan.
Apa yang menjadikan Ilya Café menonjol ialah kepelbagaian menunya yang merentasi sempadan negeri dan etnik.
Ada makanan dari pantai timur seperti Terengganu dan Kelantan, dari utara seperti Kedah dan Pulau Pinang, dari selatan seperti Johor malah ada juga makanan citarasa Jawa, leluhur keluarga Syafiqah Ilya.
Gabungan ini bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian budaya, tetapi juga menjadikan Ilya Café penyatu semua melalui makanan.
Antara makanan yang menjadi kegemaran pelanggan ialah nasi lemak beras basmathi, yang harum dan lembut, dihidang bersama sambal yang cukup pedas dan manis, membangkitkan nostalgia pagi-pagi bersama keluarga.
Nasi dagang Terengganu, nasi kerabu Kelantan, laksam, Laksa Johor dan Laksa Pinang turut menjadi pilihan ramai, membawa cita rasa negeri ke meja makan.
Menu Ilya Café bukan sekadar menyajikan kepelbagaian rasa, tetapi turut menyatukan generasi.
Dari kudapan warisan seperti kerepek, rempeyek, baluq chimai dan choco jar ke kuih-muih klasik seperti karipap kentang, lepat ubi & pisang, bomboloni coklat dan onde-onde, setiap satu mengimbau kenangan zaman kanak-kanak dan kasih ibu di dapur.
Gorengan seperti pisang dan ubi goreng, dessert unik seperti jelly ball dan sagu gula Melaka serta jeruk eksotik seperti kolang-kaling dan kedondong menambah warna kepada pilihan menu.
Pelbagai air minuman dan kek juga menanti, dari cheesecake, kek pisang walnut hingga ke kek batik dan kek lapis, semuanya hasil tangan penuh kasih.
Dengan harga yang berpatutan, setiap pelanggan yang melangkah ke Ilya Café tahu bahawa mereka bukan sekadar membayar untuk harga makanan tetapi turut menyokong usaha seorang gadis muda dan keluarganya dalam mengangkat martabat cita rasa Malaysia dan membina impian melalui kerja keras.
Menurut Syafiqah Ilya, melihat potensi yang ada, mereka kini mula merancang langkah seterusnya untuk membawa Ilya Cafe ke tahap yang lebih tinggi.
“Hasrat kami bukanlah semata-mata untuk berkembang dari segi saiz atau lokasi, tetapi juga dalam memastikan pengalaman pelanggan terus dipertingkat baik dari segi menu, layanan, mahupun suasana.
“Segalanya dilakukan dengan satu tujuan: untuk kekal menjadi pilihan utama rakyat tempatan, sambil perlahan-lahan membina nama yang kukuh dalam industri ini,” katanya.
Kisah Syafiqah Ilya adalah cerminan generasi muda yang berani bermimpi dan berusaha.
Beliau bukan sahaja mahasiswa cemerlang, tetapi juga contoh bagaimana status pelajar tidak menghalang seseorang untuk menjadi penyumbang kepada ekonomi keluarga selain menjadi inspirasi kepada anak muda yang lain.
Bagi yang ingin merasai sentuhan juadah penuh jiwa, Ilya Café di Lot 2199, Jalan Khamis, Meru, Klang, sedia menyambut anda dengan rasa dan cerita yang pasti membekas di hati.