am@hmetro.com.my
Muar: Norazima Mohd Radhi yang terselamat dalam kebakaran meragut nyawa adik serta datuk dan nenek awal pagi tadi, dikatakan sempat keluar dalam keadaan cedera dan bersembunyi di sebalik timbunan pasir kira-kira 50 meter dari rumah terbabit.
Pelajar Tingkatan Dua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh di sini, itu dikatakan cuba meminta pertolongan jirannya yang juga saudara kepada arwah neneknya, Ara Abdul Hamid, 76, yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.
Saudaranya, Rozana Abdullah, 48, berkata, ketika itu dia tahu rumah datuk dan nenek Norazima terbakar namun tidak mengetahui sama ada mereka sempat keluar atau tidak.
“Apabila saya keluar rumah, Ima (Norazima) nampak kelibat saya lalu terus peluk. Saya tanyakan padanya dia mana adik, dia jawab ‘adik pengsan’.
“Kemudian saya bertanyakan datuk dan neneknya, dia beritahu kedua-dua mereka ‘ada dalam api’. Saya terkedu dan membawanya masuk dalam rumah bagi menenangkan fikirannya.
“Dia (Norazima) ketika itu dalam keadaan ketakutan malah dia juga memeluk erat saya. Saya hanya mampu menitiskan air mata apabila mendengar berita daripadanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, selain nenek mereka, turut terkorban ialah datuknya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta adiknya, Noradriana Nor Hisyam, 11, di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini.
Beberapa penduduk yang menyedari kebakaran cuba menghulurkan bantuan termasuk menarik paip getah untuk memadam api namun gagal.
Salah seorang daripada mereka, sempat menyelamatkan Noradriana yang ketika itu masih bernyawa sementara menunggu bantuan untuk dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan Noradriana gagal apabila dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Selain itu, rumah pusaka terbabit turut didiami bapa saudara yang juga adik kepada arwah ibunya, Azman Mohamed, 48, namun lelaki terbabit dilaporkan menghilangkan diri selepas kejadian itu dan gagal dikesan.
Ketika kejadian, mereka berlima berada di rumah terbabit manakala bapanya bekerja sebagai pemandu lori berada di luar kawasan kerana menghantar barang.
Dalam pada itu, Rozana berkata, dua beradik terbabit, Norazima dan arwah Noradriana menetap bersama nenek sejak kecil selepas kematian bapa Norazima.
“Ibunya kemudian berkahwin lain dan mendapat arwah Noradriana tapi meninggal dunia kira-kira lima tahun lalu akibat kanser. Jadi mereka kini menumpang kasih bersama arwah datuk dan neneknya.
“Apa yang membuat saya sedih bila mengenang kisah hidup mereka berdua. Norazima dan arwah Noradriana sangat lemah lembut dan mereka jarang keluar ke mana -mana.
“Kalau berkawan pun, hanya dengan orang sekeliling. Dia anak yang baik, sopan santun namun saya kehilangan salah seorangnya hanya dalam sekelip mata.” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




