Imam masjid Indonesia ditikam ketika pimpin solat Subuh

Imam masjid Indonesia ditikam ketika pimpin solat Subuh
Rakaman CCTV menunjukkan detik seorang lelaki yang berpura-pura menjadi jemaah mengancam imam masjid dengan senjata tajam sebelum menikam mangsa hingga cedera parah. Foto video tular

Rakaman CCTV menunjukkan detik seorang lelaki yang berpura-pura menjadi jemaah mengancam imam masjid dengan senjata tajam sebelum menikam mangsa hingga cedera parah. Foto video tular

MOROWALI UTARA – Seorang imam masjid cedera parah selepas ditikam oleh seorang lelaki ketika memimpin solat Subuh berjemaah di Masjid Baiturrahman, Desa Tompira, Kecamatan Petasia Timur, Indonesia awal pagi Isnin.

Ketua Bahagian Operasi Reskrim Polres Morowali Utara, Iptu Theodorus Resupal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi itu, mangsa, Muhammad Jumali, 27, ditikam di bahagian perut oleh suspek berusia 23 tahun yang dikenali sebagai AL.

“Suspek berpura-pura menyertai saf jemaah sebelum keluar dari barisan dan menyerang mangsa ketika dia sedang rukuk.

“Jemaah yang berada di belakang bertindak menahan dan memukul suspek sebelum polis tiba di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mangsa dibawa ke Klinik Krisna Bunta untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Umum Daerah Kolonodale.

Menurut Iptu Theodorus Resupal, hasil ujian awal mendapati suspek positif dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian.

Polis turut merampas sebilah pisau jenis badik, telefon bimbit serta rakaman CCTV sebagai bahan bukti.

Kes disiasat di bawah Pasal 351 Kanun Keseksaan Indonesia. – Awani

 

 

Scroll to Top