Kuala Lumpur : Pada usia yang masih muda penyanyi berbakat Iman Darwisy, 15, berasa bertuah apabila berpeluang merakamkan dua lagu single sendiri.
Iman Darwisy atau pemilik nama Muhammad Nur’Iman Darwisy Mohd Noorazreen mempertaruhkan lagu single terbaharu berentak balada berjudul Kehilangan.
Kata Iman, lagu berkenaan cukup dekat dengan dirinya dan memberi jiwa tersendiri dalam nyanyiannya.
“Saya membesar dengan lagu-lagu genre perlahan dan balad dan memang mudah menjiwai lagu macam ini, sebab itu saya pilih Kehilangan sebagai single terbaharu saya.
“Kalau boleh, saya nak ekspresikan penghargaan dan kasih sayang kepada orang yang saya sayang, terutama orang terdekat. Bagi saya, lagu ini boleh jadi simbol perasaan ramai orang,” katanya.
Mengenai lagu itu lagi Iman berkata, ia bertemakan mengenai kasih sayang dan kerinduan terhadap seseorang ciptaan sepenuhnya oleh Ilham Baso yang bertindak sebagai komposer, penulis lirik, penerbit serta penyusun muzik, manakala penerbit eksekutif adalah Noorazreen.
Muzik video Kehilangan diterbitkan oleh Javs Production dan diedarkan Universal Music Malaysia, dengan proses suntingan oleh Awang Thrasher.
Iman berharap lagu berkenaan dapat diterima pendengar dan menjadi lagu pilihan ketika mengenangkan insan tersayang.
“Harapan saya, semua orang boleh suka lagu ini. Setiap kali kita teringat orang yang kita sayang, yang kita rindu atau yang sudah lama tak berjumpa, kita boleh luahkan perasaan melalui lagu ini,” ujarnya.
Sekalipun aktif menyanyi sejak kecil dan pernah meraih kejayaan sebagai pemenang Bintang Kecil RTM 2023 peringkat Wilayah Persekutuan serta Bintang The Chosen One Extra, karier nyanyian baginya masih sekadar hobi.
Iman mengakui minat terhadap dunia perniagaan semakin mendalam dan tidak menafikan terinspirasi dengan kejayaan usahawan sensasi, Datuk Seri Vida.
“Saya memang suka berniaga dan Datuk Seri Vida antara ahli perniagaan yang saya minat. Saya kagum dengan semangat dan kreativiti beliau. Dalam ramai-ramai usahawan, saya rasa dia comel,” katanya berseloroh.
Tidak menolak kemungkinan untuk bergabung dalam bidang seni, Iman turut menyatakan keterbukaannya sekiranya diberi peluang merakamkan lagu duet bersama tokoh perniagaan terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd



