Pelakon Zain Saidin berkongskan dia tidak akan lupakan pengalaman apabila dapat menjejakkan kaki ke bumi Palestik ketika menyertai sebuah misi kemanusiaan pada 2012.
Menerusi perkongsian di TikTok, Zain menyifatkan ianya pengalaman yang indah untuk dikenang dan perasaan dapat ke Palestin seperti menjejakkan diri ke Makkah.
BACA: “Kami Ada Usaha Cuma Tak Semua Diceritakan” – Zain Saidin
“Mungkin ramai tidak tahu, saya pernah pergi ke Gaza pada tahun 2012 bersama Bront Palare dan Afdlin Shauki, ketika itu saya belum mendirikan rumah tangga. Saya dapat jejakkan kaki di Palestin.
“Pengalaman dapat jejak kaki ke sana adalah satu pengalaman cukup indah dan seronok. Waktu itu saya menggunakan jalan darat, tetapi sekarang jalan darat sudah di tutup. Sebab itu Global Sumud Flotilla ikut laut.
“Pergi ke sana rasa seronok sebab dapat melakukan sesuatu untuk agama kita (Islam). Rakyat Palestin menyambut kehadiran kami dengan baik. Perasaan pergi Palestin macam pergi Makkah,” kongsinya.
Sementara itu, Zain berkata pengalaman ke Palestin memberi kesan cukup mendalam apatah lagi dia melihat sendiri kemusnahan harta benda namun mereka berjuang untuk hidup biarpun kehilangan ahli keluarga.
“Beberapa hari sebelum pasukan kami sampai, Palestin baru sahaja di bom. Jadi ada beberapa kawasan yang sudah hancur. Saya juga di bawa melihat kawasan perairan laut yang dikawal oleh kapal tentera Israel.
“Melawat rumah ibu-ibu yang anaknya tiada. Mereka ceritakan anak-anak dan suami dibunuh. Ketika mereka cerita saya menangis, tetapi mereka kata ‘jangan menangis, kenapa kamu menangis?
“Ketika berada di sana, terus terang saya katakan siapa yang tidak takut mati. Tapi saya sudah reda dan serahkan segalanya kepada Allah,” katanya.
Dalam pada itu, Zain berkata dia kagum dengan kekuatan iman rakyat Palestin dan melihatkan kehebatan mereka dia belajar banyak perkara.
“Ada satu kejadian, saya, Bront dan Afdlin dengar bunyi dron. Rakyat di situ kata mungkin dron itu bawa bom. Saya terkejut, mereka kata jangan takut, kalau ada bom mereka akan tangkap.
“Melihat orang-orang Palestin yang hebat, saya rasa betapa lemahnya diri ini. Pada akhirnya saya dapat belajar semangat daripada mereka. Orang Palestin sangat menakjubkan, iman mereka sangat hebat,” katanya.



