norhayati_nordin@hmetro.com.my
IMAN Troye, 22, bukan sekadar dikenali sebagai penyanyi namun dia terlebih dulu menjadi personaliti media sosial iaitu ‘influencer’ yang menarik perhatian ramai.
Malah, kemunculannya dengan single popular, Teman pada 2020 sangat berjaya apabila muzik video lagu itu kini mencecah 58 juta tontonan di YouTube.
Iman juga mempunyai lima single sudah dirakam dan tidak lama lagi hadir dengan lagu terbaharu, Bunga Kemboja ciptaan bersama serta lirik oleh Ezra Kong dan A Ramlie.
Bagaimanapun, Iman kini dikatakan seperti ‘menyepi’ apabila kelibatnya juga jarang muncul di majlis hiburan dan akuinya dia bukan sombong, tetapi mengutamakan urusan kerja yang sudah diatur.
“Saya ada saja hadir ke majlis hiburan yang dijemput penganjur, namun bergantung kepada kelapangan masa. Sekiranya saya ada masa kerana tiada komitmen kerja, saya memang akan datang.
“Tak sombong pun atau dah berlagak. Cuma, saya lebih selesa utamakan urusan kerja dulu kerana sudah dipersetujui awal. Saya kena berpegang pada janji yang sudah dibuat. Tapi, bukan sebab saya sombong.
“Jadual kerja saya juga padat sebenarnya. Jadi, saya kena tahu bahagikan masa dengan betul supaya semuanya lancar. Apa pun, setakat ini saya masih ada dan aktif dalam muzik,” katanya.
Ditanya mengenai pembabitan dalam bidang lakonan, Iman berkata, dia ada terima banyak tawaran berlakon namun memilih untuk memberi fokus kepada nyanyian dan muzik.
“Sekarang sebagai penyanyi pun, saya belum berada pada tahap stabil dan banyak yang perlu dilakukan lagi. Oleh itu, untuk kembangkan bakat dalam lakonan, tunggu dulu.
“Saya kena mempersiapkan diri dengan ilmu lakonan dulu dan apabila sudah betul-betul bersedia, baru melangkah. Saya tidak mahu tergesa-gesa jadi pelakon kerana sekadar cuba-cuba.
“Lagipun, saya tak mahu digelar atau dikatakan orang sebagai ‘pelakon kayu’ serta apa saja panggilan kurang baik. Saya nak kalau berlakon nanti, penonton yang tengok itu tahu saya memang boleh berlakon,” katanya.
Menurut pemilik nama sebenar Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin ini, dia akan menyertai kelas lakonan untuk menimba ilmu bagi mempersiapkan diri sebagai pelakon.
Dia tidak akan menjadi pelakon dalam waktu terdekat ini walaupun pernah cuba berlakon dalam satu drama dengan watak ringan sebagai pembantu.
Belajar tuisyen sangat membantu
Mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019, Iman mengakui kejayaan tidak datang begitu saja tanpa ada semangat ingin berusaha.
“Saya juga pernah ‘berperang’ dengan peperiksaan ini dulu dan tak dinafikan selain fokus belajar di sekolah, mengikuti kelas tuisyen tambahan turut membantu. Jadi, jangan lepaskan peluang kita belajar.
“Malah, sebagai duta dan ikon PTTI iaitu pusat peningkatan akademik dan pakar dalam membantu pelajar SPM, saya galakkan adik-adik ikuti kelas tuisyen dan ibu bapa juga memainkan peranan,” katanya.
Menurut Iman, dalam keadaan sekarang ilmu sangat penting walaupun ada yang mungkin berpendapat cabang kerja semakin terbuka dengan kemudahan teknologi serta pengaruh media sosial.
“Sejujurnya saya gembira dengan pencapaian keputusan SPM 2023 baru-baru ini apabila 243 pelajar yang mengikuti pembelajaran tuisyen dengan PTTI mendapat semua ‘straight’ A.
“Ia sekali gus menunjukkan peningkatan yang agak tinggi untuk PTTI sehingga menyasarkan 1,000 pelajar mereka bakal dapat ‘straight’ A pada SPM 2024 nanti,” katanya.
Menurut Iman, selagi ada peluang belajar janganlah disia-siakan kerana masa yang berlalu tidak akan datang kembali.
© New Straits Times Press (M) Bhd




