Iman, takwa jadi benteng terakhir umat

Iman, takwa jadi benteng terakhir umat

Negara kita kembali digegarkan dengan isu penganjuran pesta maksiat, hiburan melampau dan pergaulan bebas tanpa batas yang memalukan umat Islam. Fenomena ini bukan lagi kes tersembunyi, tetapi berani dilakukan terang-terangan. Ini jelas menunjukkan benteng iman dan takwa dalam masyarakat semakin menipis. Apabila iman longgar, dosa dipandang ringan. Apabila takwa retak, maksiat dianggap sebagai hiburan. Golongan ilmuwan, pendidik dan pemimpin masyarakat tidak boleh sekadar menyeru dari jauh. Kita mesti kembali membina asas paling kukuh dalam jiwa manusia – iman dan takwa sebagai benteng menghadapi godaan zaman.

Iman dan takwa: Sistem pertahanan jiwa

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementar hati mereka; dan apabila dibacakan ayat-Nya, bertambahlah iman mereka…” (Al-Anfal: 2) Ayat ini membuktikan iman sifatnya bertambah dan berkurang. Jiwa yang dipenuhi iman akan memandang maksiat sebagai keburukan, tetapi jiwa yang kering akan melihat dosa sebagai keseronokan. Rasulullah SAW bersabda: “Dalam diri manusia ada seketul daging. Jika ia baik, baiklah seluruh tubuh; jika ia rosak, rosaklah seluruh tubuh. Itu ialah hati.” (Riwayat al-Bukhari) Hati yang tidak dibajai zikrullah mudah diseret arus dosa. Sebaliknya, hati yang hidup akan membangunkan radar takwa – mampu menolak godaan walau ketika bersendirian.

Tadabbur Surah An-Nur: Garis panduan elak maksiat

Surah An-Nur adalah surah yang membina maruah dan peradaban. Allah berfirman: “Katakanlah kepada lelaki beriman agar mereka menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan. Dan katakanlah kepada perempuan beriman agar mereka menundukkan pandangan, menjaga maruah, dan tidak menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak.” (An-Nur: 30 dan 31) Ayat ini menunjukkan bahawa pencegahan maksiat bermula daripada pandangan, pergaulan dan penjagaan kehormatan. Kemaksiatan tidak berlaku serta-merta; ia bermula dengan langkah kecil yang tidak ditegur.

Fenomena semasa: Budaya hedonisme dan normalisasi dosa

Pesta hiburan liar, budaya pakaian menjolok mata, parti kaum sejenis, percampuran bebas dan kandungan video yang merosak maruah kian berleluasa. Lebih membimbangkan, anak muda melihatnya sebagai gaya hidup. Fenomena ini gambaran tepat sabda Nabi SAW: “Akan datang zaman tipu daya, perkara makruf dianggap mungkar dan perkara mungkar dianggap makruf.” (Riwayat Ahmad) Apabila dosa dipromosikan, iman berada pada tahap amaran.

Mengapa generasi muda mudah terjebak?

1. Ingin kesenangan segera

Budaya digital menjadikan hiburan cepat lebih menarik daripada agama. Allah mengingatkan: “Syaitan menjadikan amal buruk mereka kelihatan indah.” (Al-Anfal: 48)

2. Tekanan rakan sebaya

Ramai melakukan maksiat bukan kerana berani, tetapi kerana takut tidak diterima kelompok sosial. Firman Allah: “Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu daripada jalan Allah.” (Al-An’am: 116) Ayat ini membuktikan mengikuti majoriti tanpa ilmu membawa kepada kesesatan. Selain itu, Nabi SAW bersabda: “Seseorang itu berada atas agama (cara hidup) sahabat karibnya. Maka lihatlah dengan siapa kamu bersahabat.” (Riwayat Abu Dawud, at-Tirmizi – sahih) Ini menunjukkan pengaruh rakan sangat kuat terhadap tingkah laku seseorang.

3. Lemah asas didikan agama

Tanpa asas iman yang kuat, remaja sukar menolak ajakan syaitan dan godaan maksiat. Allah berfirman: “Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?” (Az-Zumar: 9) dan firman-Nya lagi: “Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hamba-Nya hanyalah para ulama.” (Fatir: 28) Ayat ini menunjukkan ilmu agama melahirkan rasa takut kepada Allah dan benteng dari maksiat.

4. Budaya luar tanpa tapisan

Budaya luar tanpa nilai Islam menguasai gaya hidup anak muda. Allah berfirman: “Dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan.” (Al-Baqarah: 168) Ini termasuk hiburan melampau, fesyen yang menggoda dan percampuran bebas – semua adalah strategi halus syaitan untuk merosakkan manusia.

5. Tersalah mencari teladan

Apabila keluarga, masyarakat dan pemimpin gagal menjadi qudwah yang baik, anak muda mencari contoh daripada artis, selebriti atau pengaruh media yang tidak membimbing kepada kebaikan. Allah berfirman: “Sesungguhnya pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang terbaik bagi kamu” (Al-Ahzab: 21) Ayat ini menunjukkan manusia perlu merujuk teladan yang benar. Hadis juga menegaskan: “Barang siapa menyeru kepada kesesatan, maka dia menanggung dosa orang yang mengikutinya tanpa dikurangkan sedikit pun daripada dosa mereka.” (Riwayat Muslim) Ini menunjukkan bahayanya golongan yang menjadi influencer dan mengapa remaja perlu waspada memilih contoh.

Bagaimana iman menjadi benteng kemaksiatan?

1. Iman membangunkan kawalan dalaman (Muraqabah)

Orang beriman merasakan Allah sentiasa memerhati. “Tidakkah Allah mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan?” (At-Taghabun: 4) Kesedaran ini cukup untuk menjauhi perbuatan hina walaupun ketika tiada siapa melihat.

2. Iman melahirkan takut dan harap kepada Allah

Allah berfirman: “Dan bagi orang yang takut saat dia berdiri di hadapan Tuhannya, disediakan dua syurga.” (Ar-Rahman: 46) Seseorang yang takut hari pembalasan tidak mudah menyerahkan dirinya berbuat maksiat.

3. Iman memberi kekuatan memerangi nafsu

Allah mendedahkan kelemahan manusia: “Sesungguhnya nafsu itu sentiasa menyuruh kepada kejahatan.” (Yusuf: 53) Nafsu hanya boleh dikawal dengan iman, bukan dengan nasihat kosong.

4. Iman meluruskan gaya hidup

Cara berhibur, berpakaian, bergaul dan berfikir orang beriman semuanya terpandu oleh wahyu, bukan hawa nafsu. Allah berpesan: “Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (At-Talaq: 2–3) Takwa membuka pintu keberkatan, maksiat membuka pintu kehancuran.

Peranan golongan ilmuwan & pendidik

Golongan ilmuwan perlu menjadi barisan hadapan menangani masalah maksiat:

1. Mendidik dengan hikmah dan ilmu

Bukan menengking atau menghukum semata-mata, tetapi membimbing dengan hujah, psikologi dan kasih sayang. Allah berfirman: “Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik.” (An-Nahl: 125)

2. Menyediakan alternatif hiburan halal

Aktiviti sukan, seni Islami, program masjid, festival ilmu dan kebajikan mesti diperbanyak bagi menyaingi hiburan maksiat.

3. Menggunakan media sosial sebagai wadah dakwah

Remaja berada di ruang digital. Maka dakwah juga mesti sampai ke sana dengan cara yang menarik dan berhikmah.

4. Menjadi Qudwah (teladan)

Ilmuwan mesti mempamerkan akhlak luhur. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad)

5. Membina modul pendidikan iman yang realistik

Modul itu harus merangkumi latihan kerohanian, pengurusan nafsu, kawalan diri serta pemantapan ibadah, bukan sekadar teori di bilik kuliah.

Penutup: Kembalilah kepada iman

Dunia penuh tarikan maksiat; kadang-kadang maksiat tidak lagi mencari manusia – manusia yang mencari maksiat. Namun Allah memberi formula penyelamat: “Sesungguhnya orang yang bertakwa, apabila diganggu syaitan, mereka segera mengingati Allah, lalu mereka melihat kebenaran dengan jelas.” (Al-A’raf: 201) Iman menghidupkan mata hati. Takwa memandu langkah. Zikir menyucikan jiwa. Ilmu membina pendirian. Jika setiap keluarga, guru, ilmuwan dan masyarakat bekerjasama memurnikan iman generasi muda, negara akan terselamat daripada gelombang maksiat yang meruntuhkan maruah.

Sesungguhnya benteng terakhir umat pada hati yang hidup dengan iman dan taqwa.

Penulis Profesor Madya Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top