farihad@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pengurus Nur Fazura iaitu Iman Tang menjelaskan dia tiada kena-mengena dengan promosi single Bertahan Demi Cinta dalam sebuah program bual bicara di Indonesia, baru-baru ini.
Sehubungan itu, Iman meluahkan rasa kesal apabila ada pihak cuba menyalahkannya menjadi punca Fazura menjadi mangsa kecaman dalam media sosial susulan nyanyian sumbang ketika membuat persembahan secara ‘live’ dalam program berkenaan.
“Seperti yang pernah dijelaskan, saya memang tiada kena mengena dengan projek lagu berkenaan kerana ia diuruskan sendiri oleh Fazura Studios dan syarikat rakaman, Hits Records.
“Saya tidak tahu mengenai pemergian Fazura ke Indonesia untuk mempromosikan lagu dalam program berkenaan kerana berada di luar negara.
“Saya sendiri terkejut apabila ramai bertanyakan mengenai video persembahan Fazura yang tular, sedangkan saya tak tahu menahu mengenainya.
“Rasa terkilan juga bila ada ‘petik’ nama dan menyalahkan saya tiada inisiatif membimbing Fazura menjadi penyanyi yang bagus hingga dikecam netizen,” katanya.
Iman mengulas tindakan beberapa individu yang didakwa seolah-olah menuduh dirinya ‘menganiaya’ artis sendiri kerana bertindak seperti tidak mengukur baju di badan sendiri.
Antaranya, ciapan dibuat pelakon, Rashidi Ishak yang menasihatkan Iman mencarikan guru vokal buat Fazura untuk membimbingnya menjadi penyanyi yang baik.
Rashidi berkata, Fazura memerlukan bimbingan daripada mereka yang pakar kerana lagu bergenre balada sangat mencabar untuk dinyanyikan.
Turut membuat teguran adalah komposer Iman Wan yang mempersoalkan mengapa pengurus berpengalaman seperti Iman membiarkan artis jagaannya itu menjerat diri dengan menyanyi secara ‘live’ seperti yang dimuat naik di Instagram.
Sebelum ini, media melaporkan Iman mengakui tidak tahu menahu mengenai projek single berkenaan dan turut menyelar tindakan tidak sensitif dan cuba menangguk di air keruh berikutan melancarkan single ciptaan Ippo Hafiz itu selepas Fazura dan bekas suami, Fattah Amin bercerai.
Bagaimanapun, menerusi kenyataan bersama Fazura Studios dan Hits Records, pelancaran single berkenaan tiada kaitan dengan urusan peribadi Fazura dan Fattah serta dibuat tanpa niat untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Mereka turut menegaskan perancangan pembikinan single itu dibuat lebih awal tanpa sebarang pembabitan Iman.
Lagu Bertahan Demi Cinta itu menjadi buat mulut ramai selepas dilancarkan sejurus Fazura dan Fattah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam pada 7 Oktober lalu.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 4.
© New Straits Times Press (M) Bhd




