Imbau zaman 'sengkek'

Imbau zaman 'sengkek'

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SETIAP individu tentunya pernah melalui fasa sengkek. Tidak semestinya membabitkan kewangan, tetapi pelbagai aspek.

Kisah itu kini diangkat dan dituangkan dalam lagu terbaharu Yonnyboii yang menampilkan Alyph berjudul Sengkek.

“Saya hasilkan lagu ini sebab kita semua pernah merasai fasa sengkek itu sendiri. Jadi, ia dapat dikaitkan dengan pengalaman ramai orang. Melihat perkara itu, saya fikir kenapa tidak saya tulis satu karya yang semua orang boleh faham,” katanya.

Menurut Yonnyboii, fasa sengkek itu membuatkannya bangkit dan ingin berusaha lebih keras dalam memacu kehidupan serta kerjayanya.

“Kalau bercakap mengenai sengkek, saya yakin kita semua pernah melalui fasa bekerja dengan gaji kecil, tapi tak semestinya tak ada duit. Saya ada duit ketika itu, cuma rasa seperti tidak cukup. Rasa sengkek.

“Oleh sebab itu saya ‘lapar’ untuk melakukan sesuatu yang lebih baik. Ketika menulis, saya

makan kerepek dan roti. Jadi, saya masukkan elemen itu dalam lirik memandangkan ia sesuai dengan rima.

“Ia berhasil dan saya dapat tuangkan segala perasaan saya dalam karya ini. Ini juga menjadi lagu yang saya rasa, memakan masa sangat singkat untuk disiapkan,” katanya.

Kerjasama dengan Alyph juga umpama satu impian yang menjadi kenyataan buatnya.

“Saya dah lama menyimpan impian untuk bekerjasama dengan Alyph. Saya sendiri pun pernah mengirimkan mesej kepadanya di Instagram. Ketika itu, saya belum jadi penyanyi lagi, tapi saya dah mengagumi muziknya.

“Kalau diimbas semula, mesej yang saya hantar ketika itu memang agak ‘bodoh’. Saya tanya dia bagaimana nak hasilkan lagu, minta tunjuk ajarnya dan ingin ke studio untuk merakamkan lagu.

“Sebenarnya ketika dia mendengar lagu ini buat pertama kali di tempat SonaOne, lagu ini belum siap sepenuhnya lagi. Ketika itu saya sendiri pun tertanya-tanya sama ada karya ini mampu berhasil atau pun tidak,” katanya.

Sementara itu, Alyph berkata, dia mengagumi kesungguhan Yonnyboii dalam menetapkan hala tuju untuk kerjaya seninya.

“Selepas kejayaan salah satu lagunya, saya menghantar mesej kepadanya untuk mengucapkan tahniah. Bila dia balas, dia meminta saya tidak membaca mesej terdahulu.

“Itu yang buatkan saya tersedar bahawa dia pernah menghantar mesej kepada saya. Apa yang buatkan saya kagum adalah keberanian dan kesungguhannya untuk belajar. Dia adalah pemuzik yang sangat rajin,” katanya.

Menurut Alyph, kali pertama dia mendengar demo lagu itu, dia mula jatuh hati dengan keikhlasan dan kejujuran yang disuntik dalam lagu itu.

“Kali pertama saya mendengar demo lagu ini adalah ketika berada di studio SonaOne. Dia yang perkenalkan saya kepada lagu ini dan saya dapat dengar susunan kata dan muzik yang sangat jujur.

“Saya bukan dengar sebagai artis atau penerbit, tapi sebagai penggemar muzik,” katanya yang menyifatkan kerjasama ini penuh keserasian.

“Kadang-kadang bila kita cuba bekerjasama, ada ketikanya ia tidak serasi. Saya rasa ini satu kerjasama yang kena dan serasi. Saya ada idea bagaimana menyumbang sesuatu buat lagu ini.

“Lagu ini adalah lagu Yonnyboii. Saya cuma menumpang dan menambah nilai. Saya pun tak boleh nak berjanji apa-apa atau terlalu berlebihan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top