IMBRT penyelesaian isu pengangkutan awam Johor

ISKANDAR PUTERI – Bas Rapid Transit Iskandar Malaysia (IMBRT) bakal menjadi penyelesaian terhadap isu pengangkutan awam di Johor sekali gus menjadi model pembangunan sistem pengangkutan bersepadu di negara ini.

Ini kerana 1MBRT menawarkan pengangkutan awam yang menyeluruh, mesra alam selain membantu ekonomi golongan sasar.

Menurut Pengarah IMBRT, Rudyanto Azhar, sembilan syarikat pengeluar bas tempatan dan antarabangsa turut terlibat dalam ujian rintis berkenaan.

Ini jelasnya, bagi menguji tahap keberkesanan di sesuatu laluan, katanya semasa sesi penerangan kepada wakil media di sini hari ini.

Menurutnya, program ujian rintis 1MBRT selama tiga bulan akan bermula 8 April hingga 8 Julai ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara memiliki perkhidmatan berkenaan.

“Ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad pada Khamis ini,” ujarnya.

Sebelum itu, wakil media turut dibawa meninjau kelebihan bas elektrik Scania yang sebelum itu dicas di depoh bas Iskandar Puteri dan menaiki bas elektrik dari Mobilus Sdn Bhd.

Rudyanto berkata, ujian berkenaan akan menggunakan sistem pengangkutan bas teknologi tinggi selain mempunyai kemudahan internet di dalamnya.

“Jika diikutkan operasi IMBRT dijangka bermula dua tahun lagi iaitu pada tahun 2023 dan ia sudah tentu mengubah landskap pengangkutan Johor dan negara selain menyediakan kemudahan bas sistematik dan lebih selesa kepada pengguna,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar, Datuk Ismail Ibrahim menyatakan, program rintis IMBRT itu penting bagi menentukan sistem serta kecekapan perkhidmatan berkenaan serta membolehkan pengawal selia memberikan keputusan akhir sebelum ia  beroperasi sepenuhnya  dua tahun lagi.- MalaysiaGazette