Washington: Tindakan keras Donald Trump terhadap pendatang tanpa izin, politik yang semakin berpecah-belah serta perang yang dilancarkan ke atas Iran mencalar imej global Amerika Syarikat ketika hanya berbaki kurang 100 hari sebelum jutaan peminat dijangka hadir ke Piala Dunia.
Piala Dunia edisi 48 pasukan yang pertama kali menampilkan 104 perlawanan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada musim panas ini sebelum ini dianggap sebagai peluang besar. FIFA malah memaklumkan jualan tiket mencatat angka luar biasa dengan banyak perlawanan habis dijual.
Namun, tindakan presiden Parti Republikan itu sejak kembali memegang jawatan tahun lalu mengubah landskap berkenaan. Kadar pelancongan yang merosot memberi tekanan kepada industri hotel Amerika Syarikat yang mengharapkan hampir tujuh juta peminat bola sepak hadir sepanjang kejohanan.
Trump melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Iran pada Sabtu yang mengorbankan pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dan memberi amaran operasi ketenteraan itu mungkin berlanjutan beberapa minggu.
Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj, memberi amaran negaranya mungkin enggan beraksi dalam kejohanan itu dengan menyatakan, “kami tidak lagi boleh menantikan Piala Dunia dengan penuh harapan.”
Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam mesej sempena 100 hari sebelum sepak mula pada Selasa tidak menyebut secara langsung mengenai peperangan itu, sebaliknya menegaskan Piala Dunia “akan menyatukan dunia, dan itu mungkin perkara paling penting ketika ini.”
Sejurus memulakan penggal kedua sebagai presiden, Trump melancarkan perang tarif terhadap banyak negara, termasuk jiran Amerika Syarikat dan rakan tuan rumah bersama Piala Dunia.
Beliau berulang kali menyuarakan hasrat menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 Amerika Syarikat serta mengancam campur tangan ketenteraan di Mexico jika negara itu gagal membendung kartel dadah.
Washington juga mencetuskan ketegangan dengan sekutu tradisi di Eropah susulan hasrat Trump terhadap Greenland, wilayah autonomi milik Denmark, serta pendirian yang berubah-ubah dalam menyokong Ukraine menentang pencerobohan Rusia.
Peperangan dengan Iran dijangka menambah tekanan hubungan dengan Eropah apabila Trump mengancam untuk “menghentikan semua perdagangan” dengan Sepanyol selepas negara itu enggan membenarkan pesawat Amerika Syarikat menggunakan pangkalan tenteranya bagi melancarkan serangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



