Rabat: Banjir yang jarang berlaku membanjiri bahagian Gurun Sahara buat kali pertama dalam beberapa dekad, lapor CBS News.
Gurun di bahagian tenggara Maghribi itu, antara tempat paling gersang di dunia dan jarang mengalami hujan pada akhir musim panas.
Kerajaan Maghribi berkata, hujan selama dua hari pada September lalu dilaporkan melebihi purata jumlah hujan tahunan di beberapa kawasan yang mencatatkan kurang daripada 25.4 sentimeter (sm). Ia termasuk di Tata iaitu salah satu kawasan paling teruk terjejas.
Di Tagounite, sebuah kampung kira-kira 450 kilometer (km) di selatan ibu negara Rabat, purata hujan lebih 9.9 sm untuk tempoh 24 jam.
Satelit Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) menunjukkan, air mengalir masuk memenuhi Tasik Iriqui antara Zagora dan Tata, yang terkenal, dan kering selama 50 tahun.
Menurut Nasa, kejadian seperti itu sangat jarang berlaku di rantau ini sehingga tasik di Algeria, Sebkha el Melah, hanya ‘diisi’ air enam kali dari 2000 hingga 2021.
Houssine Youabeb dari Jabatan Meteorologi Maghribi berkata, sudah 30 hingga 50 tahun kawasan itu tidak mengalami kejadian hujan luar biasa seumpama itu.
“Hujan sebegitu, yang digelar ahli kaji cuaca sebagai ribut luar tropika, mungkin mengubah perjalanan cuaca di rantau ini dalam beberapa bulan dan tahun akan datang apabila udara mengekalkan lebih banyak kelembapan, menyebabkan lebih banyak penyejatan dan lebih banyak ribut,” katanya.
Kemarau selama enam tahun berturut-turut menimbulkan cabaran sehingga memaksa petani membiarkan ladang terbiar dan bandar serta kampung kerana pencatuan air.
Hujan mungkin akan membantu mengisi semula air di bahagian bawah tanah padang pasir yang dipercayai untuk membekalkan air di komuniti padang pasir.
Bagaimanapun, hujan itu juga menyebabkan limpahan air sehingga mengorbankan lebih 20 orang di Maghribi dan Algeria, serta merosakkan hasil pertanian.
© New Straits Times Press (M) Bhd
