am@hmetro.com.my
Melaka: Tiga video tular di aplikasi TikTok dipercayai menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memanipulasi imej dan suara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Mohamad Akmal Saleh, untuk memperdaya orang ramai berkaitan tawaran bantuan kewangan.
Menerusi rakaman berdurasi 18, 20 dan 40 saat itu, beliau dipaparkan kononnya menawarkan untuk melunaskan hutang, memberi modal perniagaan serta berkongsi rezeki menggunakan dana peribadinya kepada rakyat Malaysia yang memerlukan sempena Ramadan.
Bagaimanapun, Dr Mohamad Akmal ketika dihubungi menafikan sekeras-kerasnya pembabitan dalam video berkenaan dan menyifatkannya sebagai palsu serta tidak sahih.
“Semua video yang sedang tersebar di media sosial menggunakan suara dan imej saya serta mengaitkan kononnya mahu menolong melangsaikan hutang, memberi dana perniagaan dan berkongsi rezeki melalui TikTok adalah palsu.
“Saya tidak pernah menawarkan bantuan seperti dipaparkan dan tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menggunakan nama atau imej saya bagi tujuan memperdaya orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu disedari selepas dihubungi beberapa rakan yang memaklumkan mengenai penyebaran video berkenaan sejak semalam.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau berkongsi kandungan di media sosial.
“Periksa dahulu setiap perkara yang kita dengar dan lihat kerana dalam dunia serba canggih hari ini, macam-macam boleh berlaku.
“Saya hanya mempunyai satu akaun TikTok, satu Instagram dan dua akaun Facebook rasmi sahaja,” katanya.
Beliau turut menggesa orang ramai yang terjumpa atau menjadi mangsa penipuan berkenaan supaya segera membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




