sukan@hmetro.com.my
Batu Kawan: Imigresen FC meneruskan rentak kemenangan selepas berpesta gol menewaskan PDRM FC, 5-0 pada aksi Liga Super di Stadium Negeri Pulau Pinang, di sini, sebentar tadi.
PDRM terlebih dahulu mendapat peluang melakukan sepakan percuma pada minit ke-17 selepas Safiee Ahmad dan Imran Samso dilanggar pemain tuan rumah namun percubaan mereka meraih gol awal gagal menemui sasaran.
Tidak menunggu lama, Imigresen membuka tirai jaringan hasil gerakan bermula daripada Elvis Kamsoba yang bijak menggelecek melepasi kawalan kapten PDRM, Park Taesu serta benteng pelawat, Amir Saiful Badeli.
Dia kemudiannya melorongkan bola kepada Fadzrul Danel Mohd Nizam yang kemudiannya melakukan sentuhan mudah untuk menewaskan penjaga gawang pelawat, Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-19.
Tuan rumah menggandakan kedudukan menerusi hantaran Rizal Ghazali dari sebelah kanan ke hadapan pintu gol sebelum disambar Jao Pedro yang tenang merembat masuk ke gawang, menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-38.
Imigresen menambah derita PDRM apabila pemain tengah, Kamsoba meledak gol ketiga tuan rumah pada minit ke-74 hasil hantaran jauh pemain gantian, Fayadh Zulkifli bersama Loqman Hakim Marzuki.
Kamsoba terus menjadi duri dalam daging apabila menjaringkan gol keempat pada minit ke-76, sekali lagi hasil hantaran cemerlang Fayadh meninggalkan PDRM 4-0.
Giliran Fayyadh meledak gol kelima skuad The Mighty Tigers pada minit ke-90 kali ini dengan bantuan Kamsoba sekali gus memastikan dominasi mutlak 5-0 bagi pasukan unit beruniform itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




