
Ketua pasukan Imigresen FC II, Hafiz Kamal (kanan) dikawal ketat pemain KDA FC pada aksi Liga AI Semi Pro di Jitra pada petang Sabtu. FOTO KDA FC
JITRA – Imigresen FC II akhirnya mencatat kemenangan sulung dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2025/2026 apabila menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan keputusan 3-0 dalam aksi minggu ketiga yang berlangsung di Stadium Mini Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MDKP) pada petang Sabtu.
Kemenangan bergaya itu hadir selepas dua perlawanan terdahulu menyaksikan skuad kendalian Azlan Ahmad sekadar meraih satu mata daripada keputusan seri dan tewas.
Sejak wisel permulaan, skuad yang digelar Mighty Tigers itu tampil dengan tekanan tinggi ke atas pasukan tuan rumah.
Beberapa percubaan awal dilakukan termasuk oleh pemain import, Said Khamis, yang kerap menguji benteng pertahanan Kedah.
KDA FC yang lebih banyak bertahan dalam 30 minit pertama mula mengatur serangan selepas itu, dengan kapten pasukan Zamri Pin Ramli menjadi tonggak utama dalam usaha mencari gol pendahuluan.
Namun, Imigresen FC II terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Said Khamis yang menyempurnakan tolakan mudah di depan gawang pada waktu tambahan babak pertama, selepas berlaku kekeliruan di kawasan penalti.
Bersambung babak kedua, Imigresen FC II terus mengasak dan hasilnya, Hafiz Kamal menggandakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi sepakan volley yang menewaskan penjaga gol Kedah, Aqil Syahmi, selepas bola muntah daripada sepakan sudut.
Dua minit kemudian, Aqil Syahmi sekali lagi diuji apabila berjaya menafikan percubaan dari Furqan Azri, namun tekanan berterusan menyaksikan gawang Kedah dibolosi buat kali ketiga.
Gol ketiga hadir pada minit ke-63 menerusi rembatan kencang Mohammad Norzaiful yang tidak mampu diselamatkan Aqil, menjadikan kedudukan 3-0 memihak kepada pasukan pelawat.
Imigresen FC II terus memburu gol tambahan namun beberapa peluang terbaik gagal dimanfaatkan. Kedudukan kekal sehingga tamat permainan.