Pasir Mas: Jabatan Imigresen Kelantan mengesan wujudnya segelintir ejen yang dipercayai menggunakan cap palsu bagi menguruskan kemasukan pekerja warga Thailand ke negara ini, kata Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan.
Beliau berkata perkara itu dikesan selepas menahan enam kenderaan jenisroad tour yang memasuki negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Dalam operasi yang dijalankan petang tadi, Imigresen memeriksa 42 warga Thailand, terdiri 21 lelaki dan 21 wanita, berusia lingkungan 20-an hingga 30-an.
“Hasil pemeriksaan, kami mendapati cap pada pasport seorang pemandu lelaki berusia lingkungan 20-an adalah meragukan kerana tiada cap keluar daripada imigresen Thailand.
“Individu itu ditahan, manakala dua lagi tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohamed Yusoff Khan berkata cap pada pasport yang dimiliki seorang daripada pemandu terbabit disyaki palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(i) Akta Imigresen 1959/63.
Dua lagi warga Thailand turut ditahan kerana memasuki negara ini melalui laluan tidak sah dengan menyeberangi Sungai Golok sebelum menaiki kenderaan sewa menuju ke Lembah Klang dan Kuala Lumpur.
Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan akan menjalani proses dokumentasi bagi mengenal pasti kesalahan serta modus operandi yang membolehkan mereka melepasi sempadan negara.
“Hasil siasatan juga mendapati ada antara warga Thailand yang diperiksa memiliki pasport, namun memilih untuk mengambil risiko menyeberangi Sungai Golok tanpa alasan munasabah,” katanya.
Setiap daripada mereka dipercayai membayar kira-kira RM80 seorang kepada ejen untuk dihantar ke Lembah Klang.
“Kebanyakan daripada mereka bekerja di kedai makan tomyam dan sektor pembinaan.
“Bagi mereka yang mempunyai dokumen sah, kita benarkan untuk meneruskan perjalanan selepas pemeriksaan selesai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd