Imigresen serbu Pasar Besar Meru, lebih 600 Pati ditahan

Imigresen serbu Pasar Besar Meru, lebih 600 Pati ditahan

am@hmetro.com.my

Klang: Situasi di Kompleks Pasar Besar Meru riuh sebaik warga asing melihat anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor masuk ke kawasan berkenaan, malah ramai lari bertempiaran sama ada yang berniaga mahupun warga asing mengunjungi pasar berkenaan.

Dalam serbuan kira-kira 5 pagi tadi, ada warga asing yang menyorok di bawah meja niaga, di dalam longkang dan cuba lari keluar dari kawasan pasar.

Seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan, Sahrial Jimin, 40, yang berasal dari Batu Bara, Medan, berkata, dia nekad bersembunyi dalam keadaan meniarap di dalam longkang selama 20 minit sebelum ditemukan anggota JIM.

“Saya lari dan sembunyi sebab saya tiada permit sah, kalau masih sah… saya tidak akan lari. Saya hanya mengalami calar-calar kecil semasa cuba lari itu.

“Saya bekerja jual ikan di sini, saya datang kali pertama pada 2004 dan pernah ditangkap dan dihantar pulang pada 2006.

“Saya datang semula pada 2022 dengan cara yang sah tetapi permit saya sudah tamat tempoh dua tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi Pati berasal dari Indonesia yang ditahan, Meri Manu, 35, yang hanya memiliki sekeping kertas perakuan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR pula berkata, dia datang kepada hanya untuk membeli ikan.

“Kebetulan di rumah, sayur ikan sudah habis… jadi saya datang ke pasar ini untuk membelinya, saya sempat membeli sayur sebelum ditahan imigresen.

“Ini kertas UNCHR, tamat pada November tahun lalu, saya datang ke negara ini guna ‘jalan belakang’ dengan menaiki bot pada 2019,” katanya.

Kedua-dua Pati berkenaan adalah antara lebih 600 orang warga asing yang diperiksa dan ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi bersepadu itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Jafri Embok Taha berkata, 630 Pati ditahan membabitkan 628 lelaki dan dua perempuan dan mereka berumur antara 17 hingga 57 tahun.

“Kesemua mereka akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di lokasi berkenaan, di sini, pagi ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top