Imigresen, skuad Jang terikat tanpa jaringan

Imigresen, skuad Jang terikat tanpa jaringan

sukan@hmetro.com

Batu Kawan: Pasukan Imigresen FC dan Negeri Sembilan FC terikat seri tanpa jaringan pada perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri Pulau Pinang, di sini sebentar tadi.

Skuad Jang yang turun sebagai pasukan pilihan dilihat mendominasi permainan sejak awal dengan melancarkan serangan bertali arus antaranya melalui Takumi Sasaki, Khuzaimi Piee, Joseph Esso dan Mio Tsuneyasu, namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah.

Bagaimanapun, Imigresen hampir mendahului kem pelawat namun jaringan Wilmar Jordan Gil pada minit ke-38 dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati dia berada pada kedudukan ofsaid.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah hampir memecah kebuntuan pada minit ke-63 menerusi percubaan leret Fadzrul Danel Nizam namun usahanya dinafikan penjaga gawang pelawat, Muhammad Aqil Abd Razak yang bertindak cemerlang menepis bola keluar.

Kem pelawat terus meningkatkan tekanan dengan memasukkan pemain gantian, N Javabilaarivin dan Oday Kharoub dalam tempoh 20 minit terakhir namun tetap tidak berhasil.

Bagi pihak Imigresen juga segalanya serba tidak menjadi dengan Elvis Kamsoba dilihat menendang bola sehingga but tercabut dalam percubaan membuka tirai jaringan manakala Eduardo Sosa diusung keluar selepas dipercayai mengalami kecederaan pada rusuk kiri.

Keputusan seri kekal hingga wisel penamat sekali gus memberikan peluang seimbang kepada kedua-dua pasukan menjelang aksi timbal balik di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 25 Januari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top