harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Seramai 6,200 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 230 majikan ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi pemeriksaan serta operasi di seluruh negara sejak Januari sehingga semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, keseluruhannya 27,000 warga asing diperiksa dalam tempoh itu di seluruh negara.
“Kesemua individu terbabit diperiksa dan ditahan dalam kira-kira 1,700 pelbagai jenis operasi yang dijalankan di seluruh negara sejak 1 Januari lalu.
“Antara warganegara yang paling ramai ditahan adalah dari Myanmar, Indonesia, Bangladesh dan China,” katanya pada sidang media Ops Selera di Sungai Long, di sini, malam tadi.
Terdahulu, seramai 51 PATI ditahan menerusi Ops Selera yang dijalankan di kawasan komersial sekitar Bandar Sungai Long di sini.
Lokman Effendi berkata, keseluruhannya, pihaknya memeriksa 225 warga asing dan 238 warga tempatan dalam operasi bermula kira-kira 6.50 petang itu.
“Individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 36 tahun terdiri daripada 40 lelaki dan 11 wanita, majoritinya warganegara Myanmar.
Sebahagian daripada mereka ditahan ketika bekerja di premis restoran.
“Hasil pemeriksaan juga mendapati ada antara mereka memiliki permit kerja di sektor lain seperti perladangan, namun bekerja di lokasi berbeza, sekali gus menyalahgunakan permit yang diberikan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lokman Effendi berkata, pihaknya akan menumpukan pemantauan dan pemeriksaan di bazar Ramadan.
Katanya, fokus utama supaya tiada warga asing yang menyalahgunakan permit atau tapak bazar untuk berniaga sepanjang Ramadan ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




