'Impak pelanggaran sangat kuat'

'Impak pelanggaran sangat kuat'

safeek@bh.com.my

KUALA LUMPUR: “Keadaan tenang dalam tren tiba-tiba bertukar menjadi panik dengan suara penumpang menjerit;” kata seorang mangsa insiden dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran stesen Kampung Baru, malam tadi.

Afiq Luqman Mohd Baharudin, 27, berkata kemalangan itu berlaku dalam sekelip mata.

“Ketika dalam perjalanan menuju ke arah stesen Kampung Baru, tren tiba-tiba berhenti mengejut hingga menyebabkan sebahagian penumpang tercampak dan terpelanting dalam tren.

“Sekelip mata saja kemalangan berlaku dan keadaan di dalam tren bertukar menjadi panik,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menceritakan kejadian, Afiq yang bekerja di sebuah syarikat swasta di sini berkata, kemalangan yang berlaku di laluan bawah tanah berhampiran Stesen LRT KLCC itu mengakibatkan ramai penumpang tercedera.

Beliau berkata, dia menaiki tren itu untuk menuju ke Ara Damansara.

“Sebelum kejadian, tren ada berhenti selama 15 minit dan kemudian bergerak semula. Tak sampai 10 saat bergerak, berlaku pelanggaran dan impaknya sangat kuat.

“Saya cedera di kepala, kaki kiri dan sakit dada,” katanya.

Afiq berkata, dia dan penumpang lain dibawa keluar oleh pasukan keselamatan dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

Malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah dalam perlanggaran dua tren Transit Aliran Ringan (LRT), masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya di sini.

Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.

Beliau berkata, 166 penumpang dilaporkan mengalami luka ringan.

“Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010,” katanya malam tadi.

Sementara itu, sebahagian daripada mangsa kemalangan itu dibawa keluar melalui sebuah pusat beli-belah berhampiran.

Sehingga jam 10 malam tadi, puluhan ambulans bergegas ke lokasi bagi membawa mangsa mendapatkan rawatan.

Pihak penyelamat membabitkan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pegawai perubatan HKL dan pelbagai agensi lain yang berkaitan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top