syafil.syazwan@hmetro.com.my
LAGU berjudul Kenapa dendangan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kelapan (AF8), Daus Eli, 36, pernah menjadi siulan ramai suatu ketika dulu.
Selepas itu, anak kelahiran Sarawak ini pernah hadir dengan beberapa karya, namun kurang mendapat sambutan.
Melihat kepada penerimaan pendengar lebih banyak kepada lagu berentak rancak, Daus kembali dengan buah tangan terbaru berjudul Terukir.
“Saya masih mencari genre lagi yang sesuai sebab di Malaysia banyak genre balada. Saya nak ‘comeback’ lagu-lagu ‘catchy’ dan cuba ambil lagu-lagi lama tahun 2010.
“Lagu Kenapa dicipta Edry Abdul Halim dan saya cuba masukkan elemen itu ke dalam lagu ini. Bukan saya putus asa dengan lagu balada tapi bukan jiwa saya. Harap, kali ini ada sambutan dan sampai ke peringkat tinggi atau Anugerah Juara Lagu (AJL),” katanya.
Mendapat ilham saat sedang duduk menikmati bintang di atas bumbung, Daus yang juga komposer lagu ini bersama Syed Asyraf melihat potensi genre dan karya ini.
“Sejarahnya, lagu ini dihasilkan di atas bumbung rumah pada jam 3 pagi. Sambil menatap bintang dan bulan, maka terlahirlah lagu ini.
“Ini membawa ‘vibe’ lagu saya yang terdahulu iaitu Kenapa. Jadi, sebab itulah saya kembali dengan lagi berentak begini kena kena dengan genre saya.
“Setakat ini sudah lebih 12,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada 22 November lalu,” katanya.
Bagi menaikkan semula namanya, Daus melakukan beberapa usaha antaranya menyertai uji bakat Calpis Soda One in a Million, baru-baru ini.
“Saya sertai uji bakat Calpis One in a Million cuma setakat lulus uji bakat. Tapi, itu tak mematahkan semangat saya untuk cuba lagi.
“Minat saya dalam nyanyian sejak dulu lagi. Jadi, saya akan tetap dan terus meneroka muzik itu dan bagaimana kehendak pendengar hari ini.
“Saya dah cipta lagu sejak 2010, cuma menunggu masa yang sesuai. Dalam koleksi ada lebih kurang 50 hingga 100 lagu.
“Saya sendiri perlu mengikut trend contohnya, mengadakan siaran langsung di TikTok. Jadi, saya nak gunakan media sosial,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd