Impian Elias 'KO' lawan tak kesampaian

Impian Elias 'KO' lawan tak kesampaian

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Wakil negara, Elias ‘EZ’ Ghazali tetap berpuas hati dengan persembahan ditampilkan pada kejohanan Fury Redemption meskipun gagal merealisasikan sasaran menumbangkan lawan dari Indonesia, Fahri ‘Machete’, menerusi knockout (KO), lewat malam tadi.

Pada perlawanan utama flyweight Muay Thai di Arena Sukan Kuala Lumpur, pertarungan sengit itu berlanjutan hingga tiga pusingan penuh sebelum Elias dinobatkan sebagai pemenang menerusi keputusan sebulat suara juri.

Elias mengakui kemenangan berkenaan sudah memadai buatnya, lebih-lebih lagi Fahri disifatkan sebagai petarung lasak dan sukar ditumbangkan.

“Saya gembira dapat menang dengan keputusan sebulat suara. Perancangan berjalan seperti dirancang, cuma KO itu tidak kesampaian.

“Saya sudah cuba menggunakan siku dan pelbagai teknik, tetapi dia masih mampu bertahan. Saya juga hormat keupayaan dia yang sangat kuat dari segi fizikal dan mental,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, Fahri mengakui Elias bukan lawan mudah dan mengakui turut menyimpan hasrat menamatkan pertarungan menerusi KO, namun terpaksa akur dengan keputusan perlawanan.

“Saya rasa pada pusingan pertama dan kedua, saya lebih dominan, manakala pusingan ketiga lebih seimbang. Saya cuba untuk KO, tetapi dia sangat keras.

“Saya bertarung dengan lebih berhati-hati dan cuba mengumpul mata. Saya terima keputusan ini,” katanya.

Fahri turut memuji ketahanan serta mentaliti Elias sambil menegaskan kekuatan mental adalah faktor paling penting dalam sukan tempur.

“Tahun ini saya sudah bertanding enam kali dan belum pernah menang melalui KO. Dalam pertarungan, mentaliti adalah nombor satu. Kalau mental tak kuat, sehebat mana pun teknik atau fizikal, semuanya boleh musnah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top