Impian jadi kenyataan, wajah Mimifly hiasi billboard Times Square NY

Impian jadi kenyataan, wajah Mimifly hiasi billboard Times Square NY

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Paparan wajah penyanyi Mimifly pada iklan digital tersohor dunia di Times Square New York, Amerika Syarikat atas pilihan Spotify membuat ahli keluarga dan insan terdekat rapper itu turut tumpang bangga.

Mimifly atau nama sebenarnya Shamimi Amalina Norisham, 40, berkata sistem sokongan luar biasa itu menjadikan pencapaian terbabit lebih besar maknanya.

“Apabila saya kongsi hal ini kepada keluarga, ya Tuhan, mereka melonjak kegembiraan. Saya percaya diri ini memiliki sistem sokongan yang cukup baik. Mereka nak tengok saya menang.

“Hal-hal beginilah saya ingin capai untuk mereka dan semua yang menyokong saya terutama menerusi Spotify,” katanya cukup terharu dengan sokongan luar biasa sejak membuat ‘comeback’.

Mengulas mengenai pencapaian terbaharunya, penyanyi lagu Angkat itu mengakui pernah berangan wajahnya akan terpampang di ‘billboard’ ikonik berkenaan suatu hari nanti.

“Secara peribadi, saya rasa sangat ‘wow’ apabila pernah tengok (wajah) Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, dan Ernie Zakri terpampang di sana. Saya terbayang alangkah ‘best’ kalau saya pun dapat.

“Apabila menjadi kenyataan, memang tak tergambar rasa seronoknya. Saya diberitahu ia keluar pada 22 Januari lalu dan sehari sebelum, saya mencari-cari sesiapa yang ada di New York untuk minta tolong ambilkan gambar.

“Alhamdulillah, saya ada seorang kawan DJ di sana. Selepas habis kerja, dia pergi tangkap gambar itu pada waktu malam. Kawan-kawan adik perempuan saya pun ada tolong tangkap waktu siang,” katanya.

Dalam pada itu, Mimifly bersyukur apabila ‘comeback’ dalam industri muzik terus konsisten sepanjang tahun lalu dan berjanji mahu terus mengeluarkan karya-karya terbaik dan berkualiti buat peminat muzik.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top