sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran negara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin gagal meneruskan momentum cemerlang mereka apabila tersingkir di pusingan kedua Terbuka Singapura selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.
Pasangan negara itu terpaksa akur tunduk 6-21, 13-21 dalam tempoh 26 minit dalam aksi yang menyaksikan lawan tampil lebih dominan sejak awal permainan.
Jimmy-Su Yin dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan tempo pantas permainan pasangan Taiwan berkenaan yang berjaya mengawal perlawanan menerusi serangan agresif dan permainan kemas di jaring.
Pasangan Taiwan itu langsung tidak memberi ruang kepada wakil negara untuk bangkit apabila menguasai set pertama dengan kemenangan besar 21-6.
Jimmy-Su Yin cuba memperkemaskan corak permainan pada set kedua dan beberapa kali berjaya merapatkan jurang mata, namun pengalaman serta konsistensi lawan menjadi pemisah untuk menamatkan cabaran mereka.
Kekalahan itu sekali gus menutup perjalanan cemerlang pasangan negara berkenaan yang sebelum ini mencipta kejutan terbesar kejohanan apabila menumbangkan pasangan nombor satu dunia dari China, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di pusingan pertama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




