Impian menggunung Shahrol Syazras

Impian menggunung Shahrol Syazras

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Anak kepada legenda permotoran negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini iaitu Shahrol Syazras mahu menjadikan kejayaan meraih petak utama di Pusingan 2 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) musim lalu sebagai pembakar semangat bagi edisi kali ini.

Shahrol Syazras yang bakal beraksi secara musim penuh dalam kelas Underbone 150cc di Asia, tahun ini berkata, beliau akan mencuba yang terbaik dan mengumpul sebanyak mungkin mata, sekali gus mampu memperbaiki keputusan diraihnya musim lalu.

“Persiapan saya seperti biasa, sama seperti (untuk) Kejuaraan Cub Prix (Malaysia). Apabila saya dapat tahu akan beraksi di pentas Asia tahun ini, saya rasa gembira.

“Tahun lalu saya berpeluang beraksi di atas tiket wild card di Sepang. Di sana ada keputusan yang baik, meraih petak utama…bermula dari petak utama pertama buat saya dan itu akan menjadi motivasi di Asia nanti.

“Begitupun, saya tidak mahu meletak sasaran tinggi, cuba untuk mengumpul mata dan melakukan yang terbaik,” katanya yang turut bakal beraksi di Kejuaraan Cub Prix, musim ini.

Kalendar ARRC 2023 dijadual membuka tirainya di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand dari 24 hingga 26 Mac ini manakala Kejuaraan Cub Prix Malaysia bermula di SIC (Utara) dari 25 hingga 26 Februari ini.

Dalam saingan Cub Prix, Shahrol Syazras menamatkan kempen 2022 dengan mengumpul 26 mata untuk berada di kedudukan ke-15 keseluruhan.

Pencapaian terbaiknya adalah menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh pada Pusingan 1 di SIC Utara pada Mac tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd