Impian Neelofa kuasai bahasa Arab jadi kenyataan

Impian Neelofa kuasai bahasa Arab jadi kenyataan

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Macam mimpi jadi kenyataan. Dari dulu selalu doa nak kuasai bahasa Arab.”

Demikian luahan syukur selebriti dan usahawan terkenal, Neelofa, 36, apabila impian lamanya untuk menguasai bahasa Arab akhirnya menjadi kenyataan.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG) Story miliknya, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor mengakui sudah beberapa kali menyertai kelas bahasa Arab, namun usahanya sering terhenti di pertengahan jalan disebabkan pelbagai kekangan.

“Dari dulu memang impian nak baca al-Quran macam baca buku cerita. Nak belajar lebih banyak hadis dan faham maknanya, nak boleh bercakap kalau berada di Tanah Suci. Tapi tak tahu nak mula dari mana.

“Dah cuba banyak kali ambil kelas, namun separuh jalan sebab susah, ‘mindset’, sibuk dan macam-macam. Tapi saya tetap doa, terutama malam-malam mustajab. Walaupun harapan dalam hati sangat nipis, saya tetap yakin Allah dengar,” katanya.

Kakak kepada Ameera Khan itu turut meluahkan rasa terkejut dengan kemajuan dirinya dalam pembelajaran bahasa Arab kerana sudah berada di bab ke-10 dalam buku pertama.

“Sekarang dah masuk bab 10 buku satu. Panjang lagi perjalanan, tapi saya macam tak percaya boleh sampai ke tahap ini.

“Moga Allah terus lapangkan dada, pancarkan cahaya ilmu dan beri kefahaman untuk kuasai ilmu bahasa ini. Semua milik Allah. Moga Allah rezekikan untuk pinjamkan ilmu ini sepenuhnya suatu hari nanti, Insya-Allah,” katanya.

Perjalanan penghijrahan Neelofa sentiasa menjadi sumber inspirasi khususnya dalam kalangan wanita yang berusaha memperbaiki diri serta kekal istiqamah.

Terdahulu, Neelofa mendirikan rumah tangga bersama pendakwah selebriti Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz pada 27 Mac 2021 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Muhammad Bilal dan Abdullah Abbas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top