Kuala Lumpur : “Syukur impian untuk melihat kumpulan TMPC (Fusion The Melting Pot Collective) memakai baju Melayu lengkap bersamping ketika menjayakan persembahan di Scotland menjadi kenyataan,” kata penyanyi, Rozita Rohaizad.
Rozita berkongsi mengenai kejayaan membuat persembahan kali kedua bersama pemuzik yang berpangkalan di Aberdeen itu, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Rozita yang juga anak Allahyarham Seniwati Mariani Ismail dan H M Rohaizad membawa lapan pasang baju Melayu untuk enam pemuzik lelaki dan dua pemuzik wanita yang dimuatkan dalam sebuah beg besar seberat 14 kilogram (kg) seterusnya diusung sepanjang perjalanan ke Glasgow.
Katanya, semua usaha yang dilakukan ternyata berbaloi apabila melihat pemuzik negara terbabit tampil segak dan mempesonakan di atas pentas mengenakan busana tradisional Malaysia.
“Saya menyanyikan tiga lagu irama Melayu iaitu Zapin Rinduan Kasih, Keroncong Anak Ikan, dan Joget Malam Pertama, di mana penonton yang penuh bersemangat turut naik ke pentas untuk berjoget bersama.
“Kemuncak persembahan adalah apabila salah seorang ahli kumpulan TMPC, iaitu Wesley Gibson, menyanyikan lagu Bunyi Gitar karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee,” katanya.
Rozita terharu dan bangga apabila persembahan itu berjaya menyatukan dua negara iaitu Malaysia dan Scotland dalam satu persembahan muzik kebudayaan.
“Saya amat teruja kerana dapat membantu memeriahkan penganjuran festival makanan dan kebudayaan Malaysia di Pyramid Anderston, Glasgow pada 29 November lalu.
“Buat julung kalinya saya membuat persembahan di Ireland bertempat di Pusat Seni dan Budaya Newgate. Walaupun hanya untuk kelompok penonton yang kecil, mereka sangat menerima baik dan sudi memenuhi permintaan saya untuk belajar menari joget Melayu.
“Tiga minggu saya di Scotland dipenuhi dengan pelbagai kolaborasi muzik bersama pemuzik tempatan. Antaranya termasuklah kunjungan ke Rumah Penjagaan Hamewith Lodge untuk menghiburkan pesakit demensia, serta persembahan di perhimpunan ‘Aberdeen Welcome Refugees’.
“Ianya satu kepuasan bagi saya untuk menyertai perhimpunan “Hentikan Islamofobia, Hentikan Rasisme, dan Pro-Imigrasi” ini, kerana ia adalah peluang terbaik untuk saya menyatakan sokongan terhadap perjuangan tersebut serta mendesak menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.” ujarnya.
Mengulas mengenai karier seni, Rozita memaklumkan dia kini dalam proses menyiapkan lagu Inggeris berjudul Choose Me dengan lirik ditulisnya sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




