Imuda sekeluarga dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR – Pelawak dan pelukis popular, Imuda, isteri dan dua orang anaknya dijangkiti Covid-19 sejak Ahad lalu.

Perkara tersebut telah dikongsikan sendiri oleh Imuda menerusi perkongsian di akaun Facebook sambil meminta peminat mendoakan kesihatan beliau sekeluarga.

“Salam semua mohon doakan kami sekeluarga yang telah dijangkiti Covid-19 bermula dengan saya pada Ahad lepas.

“Kemudian semalam isteri dan anak-anak iaitu Rayyan dan Zara pula,” tulis beliau.

Menurut Imuda, beliau sehingga kini tidak mengalami sebarang gejala manakala isterinya pula berhadapan dengan sakit tekak.

Tambahnya, anak lelakinya juga tidak bergejala teruk kecuali anak bongsunya yang mengalami demam panas.

Kata Imuda, beliau dan keluarganya kini sedang menjalani kuarantin di rumah mentuanya di Pulau Pinang.

“Saya tidak bergejala langsung isteri hanya mengalami tekak kering tapi pagi ini sudah sihat, Rayyan pula demam sekejap saja dan ada batuk-batuk sikit semalam.

“Hanya Zara anak bongsu saya alami demam panas sangat masa tidur kejap-kejap bangun dan badan panas sangat, menangis sakit kepala.

“Mohon doakan kami sekeluarga sembuh secepat mungkin. Amin,” ujarnya.-MalaysiaGazette