Imunisasi tambahan Measles-Rubella kanak-kanak 6-59 bulan bermula Isnin

Imunisasi tambahan Measles-Rubella kanak-kanak 6-59 bulan bermula Isnin

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Aktiviti Imunisasi Tambahan Measles-Rubella yang akan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) bermula 4 Ogos hingga 11 Oktober ini, diharap meningkatkan liputan imunisasi dan memberi perlindungan awal bagi

mencegah penularan lebih meluas.

Bahagian Kawalan Penyakit, dalam kenyataan media hari ini, berkata program berkenaan mensasarkan kanak-kanak yang berusia antara enam hingga 59 bulan, dan lahir antara 1 Ogos 2020 hingga 31 Januari 2025.

Kenyataan itu menyebut, Measles dan Rubella adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan telinga, radang paru- paru (pneumonia), radang otak (ensefalitis), sawan, dan kematian.

Katanya, kedua-dua penyakit itu bagaimanapun boleh dicegah melalui pemberian vaksin MMR (Measles, Mumps, dan Rubella).

“Inisiatif ini bertujuan untuk memperkukuh program imunisasi sedia ada dengan meningkatkan dan memulihkan tahap imuniti kelompok atau ‘herd immunity’, serta menyokong matlamat negara ke arah penghapusan atau eliminasi Measles menjelang tahun 2030,” katanya.

KKM memaklumkan, statistik menunjukkan kes Measles meningkat hampir dua kali ganda tahun lalu iaitu 3,791 kes berbanding 2,002 kes pada 2023.

Selain itu, katanya, jumlah wabak juga meningkat kepada 231 berbanding 112 pada tahun sebelumnya dengan 44.1 peratus kes membabitkan kanak-kanak bawah lima tahun, manakala 28.9 peratus melibatkan bukan warganegara, dengan 84.3 peratus daripada mereka tidak pernah divaksin.

“Tiga kematian turut dilaporkan pada tahun 2024, membabitkan kanak-kanak bukan warganegara berusia lapan bulan, tiga tahun, dan 17 tahun. Kesemua kes ini tidak pernah menerima vaksin Measles.

KKM menyeru ibu bapa dan penjaga supaya membawa anak-anak yang layak menerima dos tambahan vaksin Measles-Rubella (MR) secara percuma.

“Janji temu akan dihantar menerusi aplikasi MySejahtera atau boleh dibuat sendiri melalui aplikasi sama. Kanak-kanak yang layak juga boleh hadir secara walk-in ke klinik kesihatan kerajaan,” menurut KKM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top