nurul_husna@mediaprima.com.my
Musim cuti sekolah banyak dimanfaatkan untuk berkumpul mahupun bersantai bersama keluarga.
Destinasi seperti kawasan percutian atau tempat perkelahan pastinya menjadi pilihan.
Bagi Fatin Alawiyah Ahmad Sahimi, 26, dia mengambil kesempatan cuti sekolah baru-baru ini untuk berkumpul di destinasi eko pelancongan popular di Pahang iaitu Janda Baik bersama 18 ahli keluarga lain.
Katanya, hasrat untuk bercuti ke destinasi percutian itu sudah lama tetapi tidak pernah berkesempatan sehinggalah cuti sekolah pada Mei baru-baru ini.
“Meskipun Janda Baik ini tidak jauh dari Kuala Lumpur iaitu sekitar 50 kilometer atau kurang sejam perjalanan untuk sampai, tetapi saya masih belum ada kesempatan.
“Ramai yang mengatakan ia kawasan yang masih terpelihara daripada pembangunan dan pemandangannya cukup cantik.
“Apabila ahli keluarga lain menyuarakan mahu adakan hari keluarga atau bercuti bersama, saya bersama adik-beradik lain berpakat untuk memilih destinasi itu sebagai tempat percutian kali ini,” katanya.
Percutian disertai bersama ibu tercinta dan adik-beradik lain dimulakan dengan perjalanan dari Perak.
“Walaupun saya menetap di kampung, tetapi untuk perjalanan ke Janda Baik, bermula dari Perak kerana berkumpul dengan adik-beradik lain.
“Perjalanan mengambil masa lima jam dan Alhamdulillah pergerakan trafik yang jatuh pada cuti sekolah berada dalam keadaan lancar.
“Kami menginap di Resort Sugeh milik usahawan selebriti, Datuk Aliff Syukri sebagai pilihan.
“Di resort itu kami menyewa sebuah banglo bagi percutian selama dua hari satu malam,” katanya.
Menyifatkan konsep percutian kali ini meskipun dalam kawasan resort yang dikelilingi hutan dan sungai, keluarganya memilih kemudahan santai serta privasi.
“Keluarga saya besar, adik-beradik enam orang dan semuanya sudah berkeluarga dan memiliki anak.
“Sesuai dengan keadaan keluarga ada anak kecil dan mahu kebersamaan sepanjang percutian, kami memilih kemudahan penginapan dilengkapi kolam renang persendirian.
“Lebih selamat untuk kawalan penuh kepada anak-anak saudara selain isu aurat atau saudara wanita yang mahu mandi tidak rasa terganggu atau malu,” katanya.
Tambahnya lagi, tidak jauh dari tempat menginap, ada sungai jernih yang hanya terletak bersebelahan boleh melakukan aktiviti mandi-manda atau berkelah.
“Kebanyakan aktiviti kami lebih santai seperti barbeku, mandi-manda dan berborak bersama ahli keluarga.
“Maklumlah dengan percutian seperti ini baru ada kesempatan untuk melakukan aktiviti riadah bersama keluarga,” katanya.
Keesokannya Fatin dan keluarga mengambil kesempatan singgah menikmati hidangan istimewa di Janda Baik iaitu ikan patin tempoyak di salah satu kedai makan di situ.
“Seharian masa dihabiskan untuk mandi dan makan. Esok selepas keluar dari resort kami singgah makan di kedai makan di kampung itu.
“Alang-alang sudah tiba di kawasan Janda Baik, kami ‘lajak’ perjalanan ke Genting Highlands.
“Kami bermalam sehari lagi di tanah tinggi ini dan mengambil kesempatan untuk membeli-belah di Genting Premium Outlet,” katanya.
Secara keseluruhan, percutian itu memberi makna besar baginya dan seisi keluarga.
Ia memberi pengalaman istimewa untuk keluarga selain peluang berehat sambil menikmati keindahan alam bersama-sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd