BAITULMAQDIS – Perdana Menteri India, Narendra Modi menegaskan bahawa India dan Israel sepakat bahawa ‘tiada tempat untuk keganasan di dunia’, ketika mengakhiri lawatan rasmi dua hari ke negara itu yang memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan strategik kedua-dua negara.Lawatan tersebut merupakan kunjungan kedua Modi ke Israel sejak memegang jawatan pada 2014, dan dilaporkan menerima kritikan daripada sebahagian pihak di dalam negara.Berucap bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis pada Khamis, Modi berkata, kedua-dua negara berikrar untuk menentang keganasan secara ‘bahu-membahu’.”India dan Israel jelas bahawa tiada tempat untuk keganasan di dunia, dalam apa jua bentuk sekali pun… Kami akan menentangnya bersama-sama. Kami akan sentiasa menentangnya pada masa hadapan,” katanya.Beliau turut menegaskan bahawa ‘kemanusiaan tidak seharusnya menjadi mangsa konflik’.Sehari sebelum itu, Modi menyampaikan ucapan di Parlimen Israel, Knesset, selain membincangkan potensi kerjasama masa depan dalam pelbagai bidang termasuk teknologi dan tenaga.”Kita akan bergerak ke hadapan ke arah pembangunan bersama, pengeluaran bersama serta pemindahan teknologi,” katanya kepada wartawan.Menurut kedua-dua pemimpin, beberapa inisiatif baharu diumumkan bagi memperdalam hubungan perdagangan dan teknologi, termasuk kemajuan ke arah perjanjian perdagangan bebas.Kerjasama turut diperluas dalam sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), integrasi sistem pembayaran digital serta penerokaan geofizik dan pendidikan. India juga berhasrat memperkenalkan sistem pembayaran digitalnya, UPI, ke pasaran Israel.Netanyahu menyifatkan Modi sebagai ‘lebih daripada seorang sahabat, seorang saudara’, sambil menekankan bahawa masa depan adalah milik negara yang berinovasi.”Kami adalah tamadun purba yang berbangga dengan sejarah silam, tetapi bertekad untuk merebut masa depan – dan kita boleh melakukannya dengan lebih baik bersama,” katanya.Lebih sedozen perjanjian dimeterai di hadapan kedua-dua pemimpin melibatkan bidang seperti tenaga nuklear awam, angkasa lepas dan teknologi baharu.Lawatan Modi berlangsung ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak susulan konflik Gaza.Walaupun hubungan India–Israel semakin kukuh, New Delhi secara tradisinya menyokong penubuhan negara Palestin, sekali gus mengekalkan pendekatan diplomatik yang seimbang di rantau tersebut.Pada Rabu, ketika berucap di Knesset, Modi menyatakan India berdiri ‘teguh’ bersama Israel susulan serangan oleh Hamas pada 7 Oktober 2023.”Kami merasai kesakitan anda, kami berkongsi kesedihan anda. India berdiri bersama Israel dengan penuh keyakinan ketika ini dan seterusnya,” katanya.Bagaimanapun, Modi tidak secara langsung menyentuh isu korban awam di Gaza dalam ucapannya, sebaliknya menyatakan bahawa India ‘menyokong semua usaha yang menyumbang kepada keamanan berkekalan dan kestabilan serantau’.Kenyataan itu dibuat selepas pemimpin kanan parti Kongres India, Priyanka Gandhi, menggesa agar isu kematian ribuan orang awam di Gaza turut dibangkitkan dalam lawatan tersebut.Dalam sidang media berasingan, Setiausaha Luar India, Vikram Misri berkata, New Delhi masih menunggu kejelasan lanjut berhubung cadangan Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza, namun menegaskan India mempunyai keupayaan untuk menyumbang ‘pada masa yang sesuai’.- Agensi



