New Delhi: India menyekat aliran air ke Pakistan, dari Empangan Baglihar di Sungai Chenab selepas menggantung Perjanjian Air Indus.
India Today melaporkan, langkah India itu sebagai tekanan diplomatik terhadap Pakistan susulan serangan pengganas di Pahalgam, di wilayah Jammu dan Kashmi, yang meragut 26 nyawa dengan kebanyakannya adalah pelancong.
Menurut sumber, India bukan saja menyekat aliran air Empangan Baglihar ke Sungai Chenab, malah merancang langkah sama di Empangan Kishanganga di Sungai Jhelum.
Sumber yang mengetahui perkara itu berkata, kedua-dua empangan hidroelektrik itu – Baglihar di Ramban, Jammu dan Kishanganga di utara Kashmir – memberi kelebihan kepada India untuk mengawal masa pelepasan air mengikut keperluan mereka.
Untuk rekod, Perjanjian Air Indus yang dimeterai sejak 1960 dengan perantara Bank Dunia, menetapkan peraturan pembahagian penggunaan Sungai Indus dan anak-anak sungainya antara India dan Pakistan.
Empangan Baglihar sebelum ini memang menjadi isu panas antara kedua-dua negara jiran itu, dengan Pakistan pernah membawa kes itu ke timbang tara Bank Dunia.
Empangan Kishanganga pula sering dipersoalkan dari sudut undang-undang dan diplomatik, terutama berkaitan kesannya ke atas Sungai Neelum yang mengalir ke Jhelum, Pakistan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




