am@hmetro.com.my
Kepala Batas: Polis meminta individu yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan yang mengorbankan dua lelaki di Jalan Permatang Baru, di sini, semalam, untuk tampil membantu siasatan.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa yang juga pemandu dan penumpang yang masih belum dikenal pasti identiti.
Mereka rentung selepas Proton Saga dinaiki hilang kawalan dan terbabas sebelum terbakar.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman, berkata pihaknya melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) kawasan itu menerima maklumat daripada orang awam berkenaan nahas berkenaan.
“Siasatan awal di lokasi mendapati kemalangan semasa kereta dipandu oleh individu dengan membawa seorang penumpang yang belum dapat dikenal pasti itu dari arah Permatang Tiga menghala ke Sungai Dua.
“Apabila tiba di tempat kejadian, ia dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh timbunan tanah di kiri jalan sebelum terbakar.
“Susulan itu, kedua-dua mangsa rentung dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mereka dihantar ke unit forensik Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, individu yang mempunyai maklumat diminta dapat tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5757946.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




